KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah sekatan harta bagi mengelakkan wang hasil penipuan dilesapkan, walaupun suspek belum dipertuduh.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan di bawah fasal 54 itu membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah bagi mencegah atau menghentikan pelanggaran undang-undang, sekali gus melindungi mangsa jenayah siber.
"Perintah yang boleh dikeluarkan termasuklah perintah pemberhentian, perintah restitusi kepada mangsa, perintah pematuhan serta perintah sekatan harta bagi mengelakkan aset seperti wang hasil penipuan dilesapkan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata permohonan bagi mendapatkan perintah berkenaan boleh dikemukakan oleh Pendakwa Raya atau pegawai yang diberi kuasa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RUU yang diluluskan Parlimen pada Julai lepas itu digubal bagi menangani penipuan dalam talian menggunakan kecerdasan buatan (AI), termasuk penyamaran identiti, deepfake atau palsu asli dan manipulasi digital.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai kecukupan kerangka perundangan sedia ada untuk menangani penipuan dalam talian berasaskan AI serta peruntukan khusus yang diperkukuh bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket dan melindungi mangsa.
-- BERNAMA