SEOUL: Korea Selatan mengemukakan bantahan rasmi terhadap Jepun susulan penganjuran acara tahunan “Hari Takeshima” di pulau kecil yang menjadi pertikaian bersejarah di antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan hari ini menggesa Tokyo agar segera membatalkan majlis berkenaan dan menutup pejabat yang berkaitan dengan tuntutan tersebut.
Advertisement
Seoul menegaskan bahawa kepulauan itu, yang dikenali sebagai Dokdo di Korea Selatan, adalah wilayah yang sah dari segi sejarah, geografi dan undang-undang antarabangsa.
Menurut laporan Yonhap News Agency, kementerian tersebut turut memanggil seorang diplomat kanan dari Kedutaan Jepun di Seoul untuk menyampaikan nota bantahan rasmi.
Korea Selatan menyifatkan kehadiran pegawai kanan kerajaan Jepun dalam acara berkenaan sebagai tindakan yang tidak membantu usaha membina hubungan dua hala.
Dalam pada itu, media Jepun melaporkan bahawa Tokyo tetap dengan pendiriannya bahawa kepulauan tersebut adalah sebahagian daripada wilayahnya yang kini diduduki secara haram oleh Korea Selatan.
Laporan The Japan Times menyebut bahawa kehadiran pegawai peringkat kementerian dalam acara tersebut melambangkan penegasan berterusan Jepun terhadap kedaulatan wilayahnya di Laut Jepun.
Ketegangan terbaharu ini berlaku ketika kedua-dua negara sekutu kuat Amerika Syarikat itu sedang berusaha memperkukuhkan kerjasama keselamatan bagi menghadapi ancaman nuklear Korea Utara.
Penganalisis memberi amaran bahawa pertikaian wilayah yang berulang ini boleh menjejaskan usaha pemulihan hubungan diplomatik yang diperkukuh sejak tahun lalu.
Dokdo kekal berada bawah kawalan Korea Selatan sejak 1954 dan menjadi kawasan perikanan penting.
Namun Jepun terus memasukkan tuntutan kedaulatan terhadap wilayah tersebut dalam buku teks sekolah serta dokumen pertahanan rasmi, menurut laporan The Korea Herald.