Skip to main content

Politik

Pas dijangka ambil alih kerusi Ketua Pembangkang

Takiyuddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Tertinggi PN di Pejabat Pas Pusat di sini pada Ahad. SINAR HARIAN
Takiyuddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Tertinggi PN di Pejabat Pas Pusat di sini pada Ahad. -Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Selepas pelantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), tumpuan kini beralih kepada persoalan siapakah yang bakal memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menurut Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, terdapat kemungkinan besar jawatan itu akan dipegang oleh Pas memandangkan parti tersebut kini merupakan parti terbesar dalam blok pembangkang. 

Advertisement

Takiyuddin menjelaskan bahawa perkara itu telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN hari ini, namun belum dimuktamadkan.

“Perkara itu ada dibangkitkan dan telah diputuskan supaya diberi sedikit masa untuk difikirkan. Terutamanya apabila secara rasmi parti-parti anggota ini bersetuju kerusi Ketua Pembangkang dipegang oleh Pas sebagai parti terbesar di dalam Parlimen. 

"Tapi belum ada keputusan lagi. Kerana Pas memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya lagi.

Dalam masa sama, pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN dilihat membuka fasa baharu dalam pembentukan kepimpinan pembangkang.

Takiyuddin menegaskan pelantikan tersebut mendapat persetujuan sebulat suara oleh semua parti komponen, termasuk Bersatu, Gerakan dan MIPP, dan beliau menyifatkan penerimaan ini sebagai isyarat jelas bahawa Samsuri mampu menyatukan gabungan serta mengemudi PN ke arah pengukuhan blok pembangkang.

Mengulas mengenai hubungan PAS dan Bersatu yang sebelum ini tegang akibat pemecatan beberapa pemimpin utama Bersatu, Takiyuddin menegaskan bahawa semua perkara itu kini dianggap selesai.

Beliau menambah bahawa PN kini kembali bersatu dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan politik termasuk pilihan raya.

 

Must Watch Video