KUALA LUMPUR: Buat julung kali dalam sejarah penganjuran konsert di Malaysia, dua band gergasi Indonesia, Dewa 19 dan Padi Reborn, bakal disatukan di atas satu pentas menerusi konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia pada 6 Jun 2026.
Konsert yang dijadual berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dianjurkan Icon Entertainment dan dijangka mencetus fenomena tersendiri dalam kalangan peminat muzik serantau.
Advertisement
Tiga tahun selepas penampilan terakhir mereka di Kuala Lumpur menerusi konsert A Night At The Orchestra – Chapter 5 pada September 2023, Dewa 19 kembali memenuhi kerinduan Baladewa dengan konsep yang sarat nuansa cinta dan romantis.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati anggota Dewa 19 sejak mereka mula menembusi pasaran tempatan.
“Selepas perbincangan dan mencapai kata sepakat, kami menamakan konsert ini sebagai Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia kerana ada cinta yang sentiasa tertinggal di sini,” katanya dalam satu kenyataan.
Konsert berkenaan akan menampilkan barisan anggota utama Dewa 19 termasuk pengasasnya, Ahmad Dhani, bersama Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha.
Lebih mengujakan, tiga vokalis utama iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe (Ello) turut dijadual membuat persembahan bersama pemain dram Tyo Nugros.
Dalam pada itu, Padi Reborn yang terkenal dengan lagu hit seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban bakal tampil sebagai band jemputan istimewa — menandakan kali pertama dua nama besar itu digabungkan dalam satu konsert di Malaysia.
Menurut penganjur, konsep persembahan tidak bersifat extravaganza, sebaliknya mengekalkan elemen romantis dan intim sejajar dengan tema cinta yang menjadi nadi kedua-dua kumpulan.
Peminat turut digalakkan mengenakan T-shirt rasmi band sebagai tema pakaian pada malam konsert, sebagai simbol solidariti Baladewa dan Sobat Padi.
Tiket akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi platform Ticket2U.
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta) dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta).
Konsert yang bermula jam 8 malam itu dijangka menghimpunkan ribuan peminat dari Malaysia dan negara jiran, sekali gus mencatat satu lagi sejarah dalam penganjuran konsert antarabangsa di ibu negara.