Datuk Bandar Seoul bercadang membina lebuh raya basikal di seluruh bandar di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Datuk Bandar Park Won-soon berkata laluan basikal itu akan dilaksanakan di bawah pelan dikenali Cycle Rapid Transit (CRT).

Beliau mendapat ilham itu semasa melawat Bogota, ibu kota Colombia, yang mempunyai rangkaian jalan raya paling luas di dunia, dilengkapi laluan khusus untuk penunggang basikal.

Park berlepas pada Isnin lalu untuk mengadakan lawatan selama 10 hari ke Mexico dan Colombia.

"Saya mahu mewujudkan revolusi basikal yang berpaksikan rakyat dengan membina lebuh raya basikal di seluruh Seoul," kata Park kepada pemberita semasa melawat "ciclovia" di Bogota yang dianggap antara laluan basikal paling berjaya di dunia.

"Laluan basikal sedia ada di Seoul masih tidak cukup sempurna. Menerusi CRT laluan itu akan dipisahkan secara fizikal dengan laluan kereta dan pejalan kaki. Ia adalah ruang khas yang eksklusif untuk penunggang basikal."

Meskipun, terdapat laluan basikal dari timur ke barat di sepanjang taman di Sungai Han, beliau berkata pembinaan CRT akan memastikan aliran basikal yang lebih lancar.

Selain itu, pihaknya akan membina 72 kilometer laluan basikal di kawasan bandar baharu seperti Magok, Wirye dan Godeok-Gangil.

-- BERNAMA