Skip to main content

Dunia

Sepanyol, Portugal dalam keadaan berjaga-jaga selepas ribut cetus kerosakan

People stand next to debris of the facade of a house in ruins in the historic center after it collapsed around midnight due to heavy rains, as Storm Marta hit parts of Spain, in Ronda, Spain, February 10, 2026. REUTERS/Jon Nazca
Pihak berkuasa Sepanyol dan Portugal menegaskan keadaan dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari mendatang, dengan tanah yang tepu air meningkatkan risiko hakisan serta runtuhan struktur. -Foto Reuters

MADRID: Sepanyol dan Portugal berada dalam tahap berjaga-jaga tinggi ekoran hujan lebat serta angin kencang yang terus membadai rantau Iberia, mengakibatkan pokok tumbang, gangguan sistem pengangkutan dan penutupan sekolah di beberapa kawasan.

Di Catalonia, seorang individu dilaporkan parah selepas ditimpa pokok tumbang, manakala lima lagi cedera akibat tiupan angin melebihi 105 kilometer sejam.

Advertisement

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran kecemasan mudah alih, menasihatkan penduduk supaya kekal berada di dalam rumah serta mengelak perjalanan tidak perlu.

Lapangan Terbang El Prat di Barcelona turut terjejas dengan sekurang‑kurangnya 40 penerbangan dibatalkan, manakala operasi lain berdepan kelewatan berikutan had operasi akibat angin kencang.

Di utara Sepanyol, termasuk Galicia, Cantabria dan Negara Basque, amaran merah dikeluarkan dengan amaran ombak setinggi sembilan meter oleh agensi cuaca AEMET.

Di Portugal, fenomena cuaca dikenali sebagai “atmospheric river” membawa taburan hujan luar biasa, memaksa kira‑kira 3,000 penduduk dipindahkan, terutama di kawasan utara.

Institut Laut dan Atmosfera Portugal (IPMA) memberi amaran bahawa taufan baharu, Storm Oriana, dijangka membawa hujan lebat serta angin kuat pada Khamis dan Jumaat.

Sebahagian lebuh raya A1 runtuh berhampiran Coimbra selepas benteng air pecah pada malam Rabu, memaksa kerja-kerja pemulihan ditangguhkan sehingga banjir surut.

Beberapa kawasan turut melanjutkan status darurat ekoran paras air sungai meningkat dan risiko banjir besar.

Keadaan bertambah buruk selepas beberapa siri ribut sebelumnya termasuk Storm Marta, Leonardo dan Kristin, yang menyebabkan tanah runtuh, banjir serta kerosakan tanaman dengan kerugian mencecah ratusan juta euro.

Lebih 11,000 penduduk di wilayah Andalusia juga telah dipindahkan, manakala ratusan jalan raya ditutup.

Pihak berkuasa Sepanyol dan Portugal menegaskan keadaan dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari mendatang, dengan tanah yang tepu air meningkatkan risiko hakisan serta runtuhan struktur.

Penduduk digesa sentiasa berwaspada terhadap amaran cuaca baharu yang mungkin dikeluarkan. 

 

Must Watch Video