KABUL: Afghanistan terus digegarkan dengan siri serangan bom menjelang hari raya Aidilfitri.

Serangan terbaharu di Masjid Khalifa, Sahid Kabul selepas solat Jumaat mengorbankan 50 jemaah dalam siri serangan terbaharu menuju penghujung Ramadan.

Serangan berlaku ketika jemaah masjid berkumpul selepas solat Jumaat.

Ketua masjid, Sayed Fazil Agha berkata, mereka percaya pengebom berani mati menyertai mereka dalam majlis zikir tersebut dan meletupkan diri.

Pihak berkuasa kesihatan dan hospital berkata, mereka menerima 66 mayat dan seramai 78 orang cedera setakat ini.

Duta Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan mengecam serangan itu.

Jurucakap Taliban yang memerintah, Zabihullah Mujahid, mengecam serangan berkenaan dan akan menghukum dalang di sebalik kejadian.

Sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.