BEIT SHEMESH: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala 27 lagi cedera dalam satu serangan peluru berpandu yang menyasarkan bandar Bait Shemesh di Israel, menurut perkhidmatan kecemasan negara itu.
Serangan berkenaan berlaku ketika Iran melancarkan gelombang serangan balas di beberapa lokasi di Asia Barat, susulan serangan besar-besaran dan berterusan terhadap negara itu oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Advertisement
Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, manakala satu lagi kematian dilaporkan di Kuwait. Puluhan individu turut dilaporkan cedera dalam siri serangan yang melanda beberapa lokasi di rantau berkenaan.
Situasi keselamatan yang semakin meruncing itu turut memberi kesan besar terhadap pergerakan global apabila ribuan penerbangan ke dan dari Asia Barat digantung operasi.
Gangguan ini disifatkan antara yang paling serius terhadap sektor penerbangan global sejak pandemik COVID-19, dengan syarikat penerbangan utama bertindak menilai semula laluan dan jadual operasi demi keselamatan penumpang serta kru.
Ketegangan berterusan antara Iran, AS dan Israel dijangka terus memberi kesan terhadap kestabilan serantau serta ekonomi global, khususnya dalam sektor tenaga dan pengangkutan udara.