Skip to main content

Dunia

Keharmonian di Singapura perlu sentiasa diperkukuh – PM Lawrence Wong

Singapore Prime Minister Lawrence Wong delivers his 2026 Chinese New Year message. (Photo: Ministry of Digital Development and Information)
Perdana Menteri Lawrence Wong seru rakyat Singapura untuk terus memperluas ruang bersama, mendalami ikatan sesama masyarakat serta meraikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan negara. - Gambar Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menegaskan, keharmonian masyarakat majmuk Singapura bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya perlu sentiasa dipelihara dan diperbaharui dari generasi ke generasi.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina pada Isnin, beliau berkata, keharmonian yang dikecapi hari ini terbina atas asas saling menghormati, mempercayai dan memahami antara satu sama lain.

Advertisement

“Setiap generasi bertanggungjawab mengukuhkannya — melalui cara kita hidup, berinteraksi dan melayani satu sama lain,” kata PM Wong.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat untuk terus memperluas ruang bersama, mendalami ikatan sesama masyarakat serta meraikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan negara.

Tahun Baharu Cina, Ramadan cerminan keindahan masyarakat berbilang budaya

Menurut Wong berkata, Tahun Baharu Cina kali ini membawa makna lebih istimewa kerana ia bertepatan dengan permulaan bulan Ramadan bagi masyarakat Islam.

“Pertemuan dua perayaan ini mengingatkan kita tentang keindahan masyarakat majmuk Singapura — sebuah negara di mana budaya, tradisi dan agama yang berbeza hidup bersama dalam semangat saling menghormati,” katanya.

Mengulas mengenai kedatangan Tahun Kuda Api yang dikaitkan dengan perubahan dan pergerakan dalam zodiak Cina, Wong berkata, ia muncul ketika geopolitik dunia sedang bergolak dan teknologi sedang mengubah cara hidup masyarakat.

Walaupun perubahan ini boleh menimbulkan rasa tidak pasti, beliau menjelaskan, Kuda Api turut melambangkan ketahanan dan semangat juang.

“Mari kita hadapi tahun ini dengan kebolehsuaian dan keyakinan, bersedia membayangkan semula apa yang mungkin untuk diri kita dan untuk negara. Dengan itu, kita boleh menukar cabaran kepada peluang dan terus melangkah ke hadapan sebagai satu bangsa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keluarga merupakan asas utama masyarakat, dan kerajaan memberi tumpuan untuk menyokong keluarga di semua peringkat usia.

Beliau merujuk langkah-langkah yang diumumkannya dalam Belanjawan 2026, termasuk baucar CDC untuk setiap isi rumah serta kredit tambahan untuk setiap anak.

Selain itu, kerajaan turut memperluas akses dan kemampuan prasekolah, serta membantu ibu bapa membimbing anak-anak dalam penggunaan teknologi secara selamat dan seimbang.

Tujuannya, kata beliau, ialah memastikan setiap anak mendapat permulaan hidup yang baik serta keluarga menerima sokongan pada setiap peringkat kehidupan.

Kata beliau lagi, kerajaan sedang memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi membantu warga emas hidup berdikari, kekal terhubung dengan komuniti serta aktif menyumbang.

Kerajaan juga memperkukuh sistem sokongan persaraan bagi memberi ketenangan minda kepada rakyat pada usia tua.

“Apabila keluarga terjaga kebajikannya, hubungan yang menyatukan masyarakat kita juga menjadi lebih kukuh,” katanya.

PM Wong juga menyatakan rasa bangga melihat semakin ramai rakyat Singapura, khususnya golongan muda, tampil menjadi sukarelawan dalam pelbagai usaha — daripada kelestarian alam sekitar hingga isu kesihatan mental.

“Kami akan terus menyokong dan menggalakkan mereka. Bersama-sama, kita dapat membina sebuah masyarakat yang saling mengambil berat dan bertindak dengan rasa tanggungjawab bersama,” tambahnya.

“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua, dengan harapan tahun ini dipenuhi kesihatan yang baik, keamanan dan kemakmuran.”

Must Watch Video