NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres menggesa semua negara supaya menghapuskan senjata nuklear, yang tidak menawarkan keselamatan malah hanya menyebabkan pembunuhan beramai-ramai serta huru-hara, ketika Presiden Rusia Vladimir Putin meningkatkan ancaman dalam perangnya terhadap Ukraine.

Guterres dalam kenyataan pada sesi Perhimpunan Agung Khas PBB mengenai Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Senjata Nuklear yang disambut setiap tahun sejak 2013, menawarkan Agenda Baharunya untuk Keamanan, lapor United Press International (UPI).

Perang Dingin membunuh manusia dalam hanya beberapa minit. Kini, setelah berdekad-dekad kejatuhan Tembok Berlin, kita masih mendengar pedang nuklear, kata Guterres pada Perhimpunan Agung.

"Era peras ugut nuklear mesti berakhir. Idea bahawa mana-mana negara boleh berperang dan memenangi perang nuklear adalah sesuatu yang mengelirukan.

"Perlucutan senjata nuklear bukanlah mimpi Utopia. Saya gesa semua negara untuk meredakan ketegangan, mengurangkan risiko dan menjalin konsensus baharu untuk menghentikan ancaman nuklear untuk manfaat semua," kata Guterres menerusi tweetnya selepas berucap.

Menghapuskan 'peranti kematian' ini boleh dan perlu dilakukan.

Minggu lepas, Putin mengancam untuk menggunakan senjata nuklear dalam perang negara itu ke atas Ukraine, sambil memberi amaran bahawa ia bukan satu penipuan. Putin juga berkata beliau akan menggerakkan sebahagian daripada ratusan ribu anggota simpanan di Rusia untuk memperkukuh tentera di Ukraine dalam apa yang dipercayainya sebagai mobilisasi pertama di Rusia sejak Perang Dunia II, lapor UPI.

Amerika Syarikat menyifatkan pencerobohan ketenteraan itu sebagai keterlaluan dan menggesa PBB membantah kempen ketenteraan Moscow, dan menyokong Ukraine.

Guterres berkata negara anggota PBB kecewa terhadap langkah pelucutan senjata yang perlahan dan bimbang akan akibat pemusnahan kemanusiaan yang dahsyat akibat penggunaan hanya sebiji senjata nuklear, apatah lagi perang nuklear di peringkat serantau atau global.

Bulan lepas, pihak-pihak dalam Perjanjian mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear, gagal mencapai persetujuan.

Kami kecewa -- namun kami tidak akan berputus asa, kata Guterres. Saya menggesa semua negara menggunakan dialog, diplomasi dan rundingan untuk meredakan ketegangan, mengurangkan risiko dan menghapuskan ancaman nuklear.

Agenda Baharu untuk Keamanan yang saya cadangkan, memerlukan pelucutan senjata yang bermakna dan membangunkan persefahaman bersama dalam berhadapan pelbagai ancaman yang muncul, kata Guterres.

Saya berjanji untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota bagi membentuk konsensus baharu tentang cara untuk kita secara kolektif meredakan ancaman ini dan mencapai matlamat keamanan bersama.

Beliau juga memberi amaran bahawa sebarang penggunaan senjata nuklear akan mencetuskan malapetaka (Armageddon) kemanusiaan. Kita perlu berundur.

"Senjata nuklear adalah kuasa yang paling dashyat yang pernah dicipta, katanya. Penghapusannya merupakan hadiah terbesar yang boleh kita berikan kepada generasi akan datang".

-- BERNAMA