WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin dikejarkan ke hospital sekali lagi pada petang Ahad, berkemungkinan disebabkan isu pundi kencing beliau ‘kembali menyerang,’ kata jurucakap Pentagon dalam kenyataan yang dikeluarkan.

"Pada masa ini, Setiausaha mengekalkan fungsi dan tugas pejabatnya.

"Timbalan Setiausaha bersedia untuk memikul fungsi dan tugas Setiausaha Pertahanan, jika diperlukan,” kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder.

Beliau berkata, White House, Kongres dan Ketua Turus Bersama semuanya telah dimaklumkan mengenai perkembangan Austin.

Setiausaha Pertahanan itu sebelum ini menjalani prosedur pembedahan invasif minimum untuk kanser prostat pada 22 Disember lalu yang menyebabkan jangkitan saluran kencing dan komplikasi usus yang serius.

Pada 1 Januari lalu, beliau dimasukkan ke hospital semula namun, White House tidak mengetahui berita tersebut selama tiga hari - kerahsiaan yang mencetuskan perdebatan.

Berikutan tidak mengumumkan situasinya ketika itu, Austin mengakui, “sangat menyesal” kerana gagal memaklumkan kepada pemerintah tertinggi negara itu berhubung penyakit kanser prostat yang dihadapinya serta rawatan yang diterima di hospital sekitar Disember lalu.

"Saya tidak menguruskan (penyakit) saya dengan betul. Saya sepatutnya memberitahu Presiden mengenai diagnosis kanser saya," kata Austin yang berusia 70 tahun.

"Saya sepatutnya memberitahu Presiden tentang diagnosis kanser saya, dan juga sepatutnya memberitahu pasukan saya dan rakyat Amerika.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya. Saya memohon maaf kepada rakan sepasukan saya dan kepada rakyat Amerika," kata Austin kepada pemberita awal bulan ini.

Dalam reaksinya pula, Presiden Joe Biden berkata, beliau tetap yakin dengan kepimpinan Setiausaha Pertahanannya itu, namun berpendapat, adalah "kurang optimum" bagi Austin kerana tidak mendedahkan keseriusan penyakitnya.

Insiden itu turut mencetus kebimbangan keselamatan dan ketelusan menyebabkan tiga penyiasatan dilancarkan bagi mengendalikan situasi yang dihadapi Austin.

Setiausaha Pertahanan itu juga telah diarahkan untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Kongres pada 14 Februari ini. - Agensi