WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin disahkan menghidap kanser prostat dan mengalami komplikasi yang menyebabkan beliau dirujuk ke hospital pada tahun baharu 1 Januari lalu.

Austin juga dilaporkan masih menerima rawatan dan pemantauan, kata kenyataan yang dikeluarkan Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed pada Selasa.

Kenyataan itu turut menyebut doktor mengesan kanser berkenaan dalam tubuh Austin pada awal Disember lalu.

Beliau dilaporkan menjalani "prosedur pembedahan invasif minimum" pada 22 Disember atau disebut sebagai prostatektomi untuk merawat kanser.

“Austin pulih daripada pembedahannya dan pulang ke rumah keesokan harinya. Kanser prostatnya dikesan awal dan prognosisnya sangat baik,” kata kenyataan itu.

Pentagon tidak menang tangan menjawab soalan selepas pada Jumaat lalu tersebar berita Austin dimasukkan ke Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed di hari pertama tahun 2024 dan telah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari tanpa mengumumkannya secara terbuka.

Bahkan, turut dilaporkan Presiden AS, Joe Biden, pegawai kanan keselamatan negara dan juga Timbalan Setiausaha Pertahanan, Kathleen Hicks - yang telah memikul tugas Austin - tidak menyedari kemasukan Setiausaha Pertahanan itu ke hospital sehingga tiga hari selepas beliau dirawat.

Pada 1 Januari, Austin dimasukkan semula ke hospital kerana pelbagai komplikasi "termasuk loya dan sakit perut, pinggul serta kaki yang teruk."

Beliau didapati mengalami jangkitan saluran kencing, kata kenyataan itu.

Ditanya mengapa Austin tidak mendedahkan beliau didiagnos kanser prostat, jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder berkata, hal itu "sangat peribadi."

"Kanser prostat dan prosedur yang berkaitan jelas sangat peribadi," kata Ryder pada Selasa semasa menyampaikan taklimat kepada media di Pentagon.

"Oleh itu, sekali lagi, anda tahu kami akan terus bekerja keras untuk memastikan bahawa kami bersikap telus yang mungkin untuk bergerak ke hadapan, dan sekali lagi, semoga Setiausaha (Pertahanan) cepat sembuh."

Ryder, bagaimanapun, tidak menjawab soalan tentang siapa yang memutuskan untuk tidak memamklumkan Presiden Biden mengenai keaadan kesihatan Austin.

"Apabila perkara ini berlaku pada Disember, siapa yang membuat keputusan untuk tidak memaklumkan kepada Presiden bahawa Setiausaha Pertahanan menghidap kanser prostat?" tanya wartawan bertanya semasa taklimat itu.

“Seperti mana yang anda semua sedia maklum, sejauh mana situasi dari segi pembedahan  dan keadaan Setiausaha, kami memberikan maklumat itu kepada anda kerana kami telah menerimanya. Kami menerimanya petang ini dan kami menyalurkannya kepada anda sekarang,” kata Ryder yang turut memaklumkan beliau tidak tahu tentang diagnosis itu sehingga kenyataan dikeluarkan hospital berkenaan pada Selasa. - Agensi