Tindakan beberapa lelaki yang berswafoto dan merakam video bersama tiga mangsa kemalangan di tepi jalan di India baru-baru ini dikecam pihak berkuasa negara itu.

Dalam kejadian sekitar jam 2 petang waktu tempatan, ketiga-tiga mangsa yang menaiki sebuah motosikal itu dilanggar sebuah bas menyebabkan mereka jatuh di atas jalan raya.

Memetik laporan Times of India, salah seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi terbaring berlumuran darah di atas jalan selama lebih setengah jam.

Namun, ketika mangsa parah dan mengharapkan bantuan, tiada seorang pun yang datang membantu atau membawa mereka ke hospital.

Sebaliknya pejalan kaki yang berada di lokasi kejadian mengambil peluang bergambar bersama mangsa menyebabkan mereka gagal diselamatkan.


Menurut polis, akibat tindakan tidak berperikemanusiaan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Tambah polis, mangsa mungkin dapat diselamatkan jika bantuan perubatan diberikan sejurus kejadian.