Sidang Jepun–Korea Selatan diakhiri sesi drum K-pop

Takaichi dan Jae Myung bermain dram mengiringi lagu Dynamite oleh kumpulan K-pop BTS. - Foto Instagram/takaichi_sanae
SEOUL: Sidang kemuncak dua hala Jepun–Korea Selatan mencuri perhatian apabila Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengakhiri pertemuan hari pertama mereka dengan sesi santai bermain dram mengiringi lagu K-pop popular.
Rakaman video yang dikeluarkan Pejabat Presiden Korea Selatan memaparkan kedua-dua pemimpin itu bermain dram mengiringi lagu Dynamite oleh kumpulan K-pop BTS, selain Golden daripada muzikal animasi Netflix K-pop Demon Hunters.
Takaichi, yang dikenali sebagai peminat dram dan muzik heavy metal, memuji kebolehan Lee yang pantas menyesuaikan diri dengan alat muzik berkenaan, sambil menyifatkan detik itu sebagai simbol hubungan mesra antara kedua-dua negara.
“Presiden belajar bermain dram hanya dalam lima hingga 10 minit.” kata Takaichi.
Pada hari kedua sidang kemuncak, Lee dan Takaichi meneruskan agenda rasmi dengan mengadakan lawatan ke Kuil Horyuji di Wilayah Nara, iaitu kampung halaman Takaichi.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin berkata perbincangan dua hala mereka merangkumi isu rantaian bekalan industri, kecerdasan buatan (AI), penyah-nuklearan Semenanjung Korea serta kerjasama dengan sekutu bersama mereka, Amerika Syarikat.
Pertemuan di Nara itu berlangsung kira-kira seminggu selepas Lee mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, ketika hubungan Tokyo dan Beijing kekal tegang susulan kenyataan Takaichi sebelum ini mengenai kemungkinan Jepun mengerahkan pasukan tenteranya sekiranya serangan China terhadap Taiwan menimbulkan ancaman kewujudan.
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, tuntutan yang ditolak oleh pulau yang mentadbir sendiri itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


