Pembedahan lutut: Sultan Ibrahim sembah ucap selamat kepada Sultan Brunei

Baginda dijadual mengadakan pembedahan penggantian lutut kanan yang mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk pemulihan. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan sembah ucap selamat kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang bakal menjalani rawatan lutut bermula 18 Januari ini.
Sultan Ibrahim bertitah demikian melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
“Patik serta rakyat mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku selamat menjalani rawatan ini dan dikurniakan Allah SWT kesembuhan yang sempurna, serta dipermudahkan semua urusan berkaitan,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, Pejabat Sultan Brunei memaklumkan bahawa Sultan Hassanal, 79, dijadual mengadakan pembedahan penggantian lutut kanan di Pusat Perubatan Jerudong Park, Brunei bagi memulihkan pergerakan serta mengurangkan ketidakselesaan.
Menurut laporan Borneo Bulletin, Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar berkata, pembedahan berkenaan akan diketuai oleh pakar ortopedik dari Amerika Syarikat, Professor Andrew Freiberg.
Beliau menambah, Sultan Hassanal dijangka mengambil masa dua hingga bulan untuk proses pemulihan.
Kali terakhir kesihatan Sultan Hassanal mendapat perhatian umum adalah pada Mei 2025, apabila baginda dimasukkan ke hospital akibat keletihan ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


