RIYADH: Sidang Kemuncak Tergempar Islam dan Arab yang baru sahaja selesai menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) membuat keputusan tegas dan memuktamadkan segera gencatan senjata di Gaza serta menyekat sebarang tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan malam tadi pada penghujung sidang tergempar sehari bagi membincangkan pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Palestin itu, negara-negara peserta menggesa agar ditamatkan segera pengepungan terhadap Gaza dan membenarkan konvoi bantuan kemanusiaan Arab, Islam dan antarabangsa memasuki Gaza.
"Menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil keputusan yang tegas dan memutamadkan keputusan untuk melaksanakan gencatan senjata dan menyekat pihak berkuasa pendudukan penjajah yang melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta resolusi legitimasi antarabangsa, iaitu yang terbaharu Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. No. A/ES-10/L.25 bertarikh 26/10/2023.
"Tidak bertindak dianggap sebagai satu persekongkolan yang membolehkan Israel meneruskan pencerobohan kejamnya yang membunuh orang yang tidak bersalah, kanak-kanak, orang tua, dan wanita, serta meranapkan bumi Gaza," menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap pada sidang kemuncak bersama itu telah menggesa semua negara anggota Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk secara konsisten dan tegas menyeru gencatan senjata dilakukan segera dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Ummah menurutnya, mengharapkan hasil yang nyata dan tindakan konkrit daripada Sidang Kemuncak Tergempar Islam dan Arab yang berlangsung sehari.
"Saya menyeru setiap daripada kita untuk menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik secara strategik dalam setiap dialog dan di setiap peringkat, sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau atau antarabangsa.
"Marilah kita secara konsisten dan tegas menyeru perkara berikut dalam kempen diplomatik bersepadu untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza," kata Perdana Menteri.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz di sini, Sidang Kemuncak Tergempar Islam Arab bersama itu untuk membincangkan pencerobohan Israel ke atas Palestin dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Kenyataan Akhir itu turut menyeru UNSC untuk segera meluluskan resolusi yang mengecam pengeboman biadap tentera Israel terhadap hospital di Semenanjung Gaza, menghalang perubatan, makanan dan bahan api serta memutuskan perkhidmatan penting seperti elektrik, air, komunikasi dan akses Internet.
"Tindakan hukuman kolektif ini sama dengan jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa. Kami menekankan keperluan untuk mengenakan resolusi ini terhadap Israel, kuasa pendudukan, untuk memastikan pematuhan undang-undang antarabangsa dan segera menghentikan tindakan biadab dan tidak berperikemanusiaan ini.
"Kami menekankan keperluan untuk menarik balik sekatan yang telah dikenakan Israel ke atas Semenanjung Gaza selama bertahun-tahun lamanya," menurut kenyataan itu dengan menambah Israel dan semua negara di rantau ini tidak akan menikmati keselamatan dan keamanan kecuali jika rakyat Palestin menikmati keselamatan dan keamanan serta mendapatkan kembali semua hak mereka yang telah dirampas.
Sidang Kemuncak Tergempar Bersama Islam dan Arab itu juga menggesa agar pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyelesaikan siasatan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di semua wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Al-Quds Timur.
Ia akan menugaskan Sekretariat Agung OIC dan Liga Arab untuk membuat susulan terhadap pelaksanaan siasatan ini dan menubuhkan dua unit pemantauan undang-undang khusus untuk mendokumentasikan jenayah Israel yang dilakukan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt.
"Unit itu kemudiannya akan menyediakan prosiding undang-undang mengenai semua pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dilakukan oleh Israel, kuasa pendudukan, terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan seluruh wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Al-Quds Timur," menurut kenyataan itu.
Kenyataan Akhir itu turut menuntut semua negara untuk menghentikan eksport senjata dan peluru ke Israel yang digunakan oleh tentera dan peneroka haram pengganas mereka untuk membunuh rakyat Palestin, memusnahkan rumah mereka dan infrastruktur penting lain.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Nov 12 2023
Perdana Menteri menggesa semua negara anggota Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk secara konsisten dan tegas menyeru gencatan senjata dilakukan segera. - Foto Bernama
Filipina pindahkan lebih 45,000 penduduk susulan letusan Gunung Berapi Kanlaon
Lebih 45,000 penduduk dari kampung-kampung berhampiran Gunung Berapi Kanlaon yang aktif dipindahkan selepas ia meletus pada Isnin.
NHF penting untuk perkukuh sinergi penjagaan kesihatan awam, swasta - MPS
Sistem pembiayaan kesihatan nasional langkah tangani peningkatan kos penjagaan kesihatan, meningkatkan serta membentuk model penjagaan kesihatan yang mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.
Kejatuhan rejim Assad bongkar empayar dadah Captagon Syria
Pasukan pembebasan berjaya hapuskan pusat pengedaran dadah perangsang terbesar yang selama ini membanjiri pasaran gelap di seluruh Asia Barat.
Nancy Pelosi dimasukkan ke hospital di Luxembourg akibat cedera
Bekas Speaker AS yang berusia 84 tahun itu cedera ketika menyertai delegasi Kongres bipartisan ke Luxembourg untuk memperingati ulang tahun ke-80 Pertempuran Bulge.
Lembangan sungai utama di Kelantan diramal banjir pada 16 -19 Disember - JPS
Lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula 16 hingga 19 Dis ini, menurut amaran dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran .
Meta sumbang AS$1 juta untuk majlis angkat sumpah Donald Trump
Derma ini merupakan langkah terkini oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg yang menunjukkan hasratnya untuk bekerjasama dengan Trump.
Francois Bayrou dilantik PM baharu Perancis
Presiden Emmanuel Macron lantik sekutunya dalam usaha untuk meredakan krisis politik yang semakin melemahkan pengaruhnya.
KL City nafi bekalan selesa JDT
JDT akan meneruskan saingan aksi kedua suku akhir dengan bertemu KL City pada 21 Dis ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Skuasy Berpasukan Dunia 2024: Malaysia raih gangsa
Skuad wanita kebangsaan membawa pulang pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia 2024 di Hong Kong, malam tadi.
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus pada November 2024 - MAA
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus tahun ke tahun kepada 67,523 unit pada November 2024, susut daripada 73,262 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
Sidang kemuncak Islam dan Arab gesa UNSC segera lakukan gencatan senjata ke atas Gaza
Sidang Kemuncak Tergempar Islam dan Arab menggesa UNSC memuktamadkan segera gencatan senjata di Gaza.