SINGAPURA: Seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan cara kerja pembantu rumahnya, didapati kerap melepaskan kemarahan dengan cara memukul dan melempangnya sesuka hati.

Channel NewsAsia melaporkan, akibat perbuatan berkenaan, majikan itu, Zhao Lin, 35, telah dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda S$1,000 (RM3,197), pada Isnin.

Dia mengaku bersalah bulan lalu atas empat dakwaan menyebabkan kesakitan secara sengaja dan satu tuduhan salah laku dengan merosakkan telefon bimbit yang digunakan mangsa untuk menghubungi keluarga.

Terdapat lagi empat pertuduhan sedang dipertimbang untuk dijatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu, mangsa yang merupakan seorang warga Myanmar, mula bekerja untuk Zhao pada Februari 2016. Zhao merupakan majikan pertamanya.

Tugas mangsa antaranya adalah menjaga anak lelaki Zhao, yang berusia empat tahun ketika itu.
Zhao mula mendera mangsa pada tahun 2017 dengan memukulnya, hanya kerana kesalahan sewaktu berkerja atau kerana perbuatannya yang tidak disenangi.

Zhao malah menolak sebanyak S$100 hingga S$200 (RM319 hingga RM639) daripada gaji pembantu rumahnya yang berjumlah S$500 (RM1,600) setiap bulan bagi setiap kesalahan sewaktu bekerja, seperti memecahkan pinggan mangkuk walaupun tanpa sengaja.

Dalam satu kejadian pada 25 Ogos 2018, dan terakam dalam sistem kamera litar tertutup, Zhao telah menuduh mangsa tidak menyimpan permainan anaknya dengan betul. Dis telah memaksa pembantu rumahnya itu berdiri tegak lalu melempangnya sekuat hati sebanyak 10 kali.

Selepas melempangnya, Zhao berkata: “Saya akan terus melempang kamu, sampai kamu berasa sangat, sangat takut!”

Pada sebelah paginya, Zhao melempang lagi mangsa sebanyak 10 kali sebagai ‘hukuman’ terlupa membasuh beberapa pakaian.

Setiap kali didera sebegitu, mangsa hanya menangis dan tidak melawan kerana bimbang akan nasibnya.
Penderaan itu berterusan untuk semua perkara, termasuk cara membersih rumah dan penjagaan anaknya.

Ada beberapa insiden, mangsa bukan saja dilempang, malah dipukul dan ditendang, selain dimaki hamun.

Perbuatan Zhao akhirnya diketahui polis apabila mangsa yang sudah tidak tahan dengan penderaan tersebut lalu menghubungi pihak polis.