KUALA LUMPUR: Kemahiran dalam mengendalikan senjata api dalam kalangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi penekanan serius berikutan tugas operasi agensi itu kini semakin mencabar serta melibatkan kes bersindiket yang berisiko tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata penekanan terhadap kemahiran pengendalian senjata api itu juga perlu bagi memastikan kesiapsiagaan maksimum pegawai menghadapi tugasan yang kian berbahaya.
Advertisement
Beliau berkata bagi memastikan kemahiran pegawai mengendalikan senjata dan sentiasa selangkah ke hadapan dalam memerangi rasuah, latihan intensif seperti kejohanan menembak tahunan kini menjadi platform penting dalam mengasah ketangkasan serta fokus anggota di lapangan.
"Setiap tindakan kita dalam perjuangan antirasuah mestilah berasaskan fakta yang tepat, strategi tajam serta keberanian yang tidak berbelah bahagi demi integriti negara.
"Sama seperti di lapang sasar, ketenangan dan ketepatan bidikan ialah kunci utama untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Azam merasmikan Kejohanan Menembak SPRM Tahun 2026 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM Zuhairie Abu Bakar dalam kenyataan sama berkata disiplin penggunaan senjata api ialah asas profesionalisme bagi setiap pegawai penguat kuasa dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Dalam kejohanan tersebut, Sriraman Renganathan daripada SPRM Selangor muncul juara kategori Centre Fire Individu Lelaki, manakala kategori wanita dimenangi oleh Zatun Najmiah Mohd Sabri daripada Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).
Bagi kategori berkumpulan, Bahagian Siasatan dinobatkan sebagai juara keseluruhan Centre Fire, sementara Bahagian Forensik mengungguli kategori Jatuhan Piring.
Dalam kategori VIP Individu pula, tempat pertama dimenangi wakil Pengarah SPRM Kedah Mansur Mohamad, diikuti Zuhairie di tempat kedua dan Azam di tempat ketiga.
-- BERNAMA