Skip to main content
Advertisement

Dunia

Siklon Arnab: India gerak operasi pemindahan besar-besaran menjelang Rabu

Kerajaan Andhra Pradesh mengarahkan semua bot nelayan kembali ke daratan dan meletakkan sistem utiliti serta bekalan kuasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang gangguan infrastruktur. -Gambar hiasan/Reuters
Kerajaan Andhra Pradesh mengarahkan semua bot nelayan kembali ke daratan dan meletakkan sistem utiliti serta bekalan kuasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang gangguan infrastruktur. -Gambar hiasan/Reuters

Advertisement

NEW DELHI: Dua negeri di pesisir pantai timur India kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memindahkan ratusan ribu penduduk menjelang ketibaan Siklon Arnab yang diramal melanda wilayah berkenaan pada Rabu ini, lapor Reuters.

Sistem cuaca yang terbentuk di Teluk Benggala itu telah bertukar menjadi ribut siklon dan dijangka melintasi pantai Andhra Pradesh serta Yanam antara kawasan Bapatla dan Visakhapatnam dengan kelajuan angin berterusan 115 hingga 125 kilometer sejam serta tiupan sehingga 140 kilometer sejam.

Jabatan Meteorologi India (IMD) mengeluarkan amaran merah susulan potensi hujan lebat hingga amat lebat yang boleh mencetuskan banjir kilat di kawasan pantai Andhra Pradesh dan selatan Odisha.

Seorang pegawai kanan pengurusan bencana Andhra Pradesh berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti penduduk di kawasan rendah dan berisiko tinggi untuk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara sebelum siklon melanda.

Pihak berkuasa mengesahkan proses pemindahan secara berperingkat dijadual bermula petang Isnin.

Sebagai langkah awal mengurangkan impak bencana, kerajaan Andhra Pradesh mengarahkan semua bot nelayan kembali ke daratan dan meletakkan sistem utiliti serta bekalan kuasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang gangguan infrastruktur.

Sementara itu, kerajaan Odisha mengumumkan penutupan sekolah dan kolej di lima daerah yang dijangka paling terjejas selama dua hari berturut-turut bermula Selasa.

Kerajaan negeri itu turut menggerakkan pasukan respons bencana dan kecemasan ke kawasan berisiko sebagai langkah persediaan menghadapi siklon yang dijangka memberi kesan kepada beberapa daerah di selatan Odisha.

Must Watch Video

Advertisement