KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar yang terkenal dengan ketajaman pemikiran undang-undang, penguasaan bahasa serta sumbangan berterusan dalam perkembangan jurisprudens di Malaysia, meninggal dunia di Hospital Shah Alam, pukul 2 pagi tadi pada usia 94 tahun.
Rakan karibnya, Pengasas-Presiden Persatuan Warisan Malaysia-India, Prabhakaran Nair berkata urusan majlis pengebumian akan diumumkan kemudian.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Warisan Malaysia-India telah kehilangan seorang individu yang banyak memberikan sokongan, dengan persahabatan serta budi baik beliau akan sentiasa kami hargai.
“Sumbangan beliau kepada badan kehakiman Malaysia dan penglibatannya dalam usaha memajukan hak asasi manusia, termasuk hubungannya dengan SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia), merupakan sebahagian penting daripada legasi beliau,” katanya.
Mahadev, yang memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada 1950-an, dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada Ogos 1983 sebelum menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada 1994. Beliau bersara daripada badan kehakiman pada November 1997.
Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1932, pendedahan awal Mahadev kepada dunia perundangan, ditambah dengan asas yang kukuh dalam kesusasteraan klasik dan penguasaan bahasa, membentuk kerjaya cemerlang beliau yang merangkumi amalan guaman, perkhidmatan kehakiman dan bidang kesarjanaan undang-undang.
Mahadev memulakan amalan guaman di Seremban sebelum menyertai firma guaman Shearn Delamore & Co, yang menyaksikan beliau dilantik sebagai rakan kongsi pada 1961. Beliau kekal bersama firma itu sepanjang tempoh amalan guamannya, mengendalikan pelbagai kes melibatkan pertikaian komersial dan sivil, undang-undang jenayah serta kecuaian perubatan.
Mahadev turut mendapat pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang kesarjanaan undang-undang. Artikel yang diterbitkan beliau dalam Malayan Law Journal pada 1984 mengenai perbezaan antara mengemukakan sesuatu kes kepada saksi dengan sekadar mencadangkan sesuatu kepada saksi itu terus dirujuk oleh Mahkamah Rayuan beberapa dekad kemudian.
Penghakiman beliau merangkumi pelbagai isu, daripada pertikaian pekerjaan dan ganti rugi dalam kes matrimonial sehinggalah kelewatan dalam pentadbiran keadilan.
Dalam satu penghakiman, beliau mengingatkan tentang kelewatan yang boleh menyebabkan pihak-pihak yang terlibat dalam litigasi hanya menerima pampasan yang diputuskan mahkamah beberapa tahun kemudian, apabila kemenangan itu sudah tidak lagi bermakna atau, lebih buruk lagi, merupakan kemenangan yang membawa kerugian.
Dalam satu temu bual pada 2014, beliau menyifatkan hakim sebagai “tigers under the throne”, dengan mengadaptasi ungkapan yang secara tradisinya dikaitkan dengan peranan badan kehakiman di bawah pemerintahan Raja bagi mencerminkan konteks Malaysia.
Beberapa aspek kerjaya perundangan, kesarjanaan dan pendekatan Mahadev terhadap undang-undang turut diketengahkan oleh penulis dan peguam kanan dalam bidang undang-undang perlembagaan GK Ganesan menerusi artikelnya bertajuk “Is There Any Point in Learning Things by Heart”, yang memberikan penghormatan kepada bekas hakim itu.
“Beliau antara individu paling berilmu yang pernah menganggotai badan kehakiman kita. Bahasa Inggeris klasik, bahasa Sanskrit, kitab Veda, keseluruhan kesusasteraan Inggeris: beliau menguasai semua bidang itu sebagaimana hakim lain menguasai laporan undang-undang. Dalam kalangan mereka yang setanding dengannya, tiada hakim di negara ini yang mampu menandinginya,” kata Ganesan.
-- BERNAMA