NAIROBI: Seekor singa jantan liar yang dipercayai merupakan salah seekor singa tertua di dunia dilaporkan mati ditikam pengembala.

Memetik BBC, singa berusia 19 tahun dikenali sebagai Loonkiito itu mati di kampung Olkelunyiet bersempadan dengan Taman Negara Amboseli, Kenya pada malam Rabu.

Kumpulan pemuliharaan Lion Guardians memaklumkan Loonkiito berkemungkinan merupakan singa jantan tertua dalam ekosistem di Afrika yang mana kebanyakan singa hidup sehingga sekitar 13 tahun di habitat liar.

Jurucakap Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS), Paul Jinaro memberitahu Loonkiito dilaporkan sesat dari taman negara sebelum masuk ke kampung untuk mencari makanan.

Kumpulan Lion Guardians yang bertanggungjawab untuk memulihara populasi singa di Taman Negara Amboseli memberitahu pembunuhan Loonkiito adalah "situasi yang sukar bagi kedua belah pihak antara manusia dan singa".

Namun begitu, pihak mereka menghormati situasi dan menganggap ia sebagai "simbol daya tahan dan kehidupan bersama".

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif WildlifeDirect, Paula Kahumbu berkata beliau kesal dengan pembunuhan singa itu dan menyeru langkah-langkah untuk melindungi hidupan liar di negara itu.

"Ini adalah titik kemuncak bagi konflik manusia-hidupan liar dan kita perlu melakukan sesuatu untuk memulihara hidupan singa yang semakin pupus," kata Kahumbu.

Jangka hayat purata seekor singa adalah kira-kira 13 tahun di habitat liar, dan boleh hidup lebih lama di dalam jagaan.