SINGAPURA:Singapura membenarkan semula penggunaan dua vaksin influenza, SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra yang dihentikan sementara pada 25 Oktober lalu.

Kementerian Kesihatan negara itu sebelum ini bertindak menghentikan penggunaan vaksin itu susulan kes kematian yang dilaporkan di Korea Selatan.

Negara itu pada Sabtu memaklumkan berdasarkan maklumat dikeluarkan Kementerian Kesihatan Korea Selatan pada 29 Oktober lalu menyebut bahawa kemungkinan vaksin tersebut menyebabkan kematian masih rendah.

Sebaliknya, punca kematian 71 daripada 72 orang itu disebabkan oleh penyakit asal (underlying diseases), sementara kes terakhir masih dalam siasatan.

Kementerian Kesihatan Korea Selatan juga berkata Pihak Berkuasa Kesihatan (HSA) telah menyemak laporan kes tempatan serta data keselamatan global kedua-dua vaksin tersebut dan mendapati kesemua mereka konsisten dengan profil keselamatan vaksin influenza.

HSA turut juga telah menyemak laporan kesemua ujian dilakukan melibatkan dua vaksin berkenaan dan mendapati ia memenuhi standard kualiti ditetapkan.

Bagaimanapun, kementerian itu mengambil maklum mengenai kesan-kesan sampingan daripada pengambilan vaksin berkenaan sama seperti pengambilan ubat-ubatan.

Tindakan menghentikan semula dua vaksin influenza oleh kerajaan Singapura sebelum ini adalah sebagai langkah pencegahan walaupun setakat ini tiada kematian dilaporkan di negara itu akibat pengambilan dua vaksin berkenaan.

Kementerian Kesihatan Korea Selatan baru-baru ini mendedahkan mangsa yang meninggal dunia itu diberikan vaksin influenza daripada tujuh jenama berlainan.

Dua daripada jenama yang didedahkan itu boleh didapati di Singapura.

SKYCellflu Quadrivalent dihasilkan oleh syarikat SK Bioscience dan diedarkan oleh AJ Biologics sementara VaxigripTetra pula dikeluarkan oleh Sanofi Pasteur dan diedarkan untuk pasaran tempatan menerusi Sanofi Aventis.

Namun demikian vaksin-vaksin daripada jenama lain yang digunakan untuk influenza masih lagi dibenarkan untuk berada di pasaran Singapura.

BACA: Singapura henti guna dua vaksin influenza susulan kematian di Korea Selatan