SINGAPURA: Isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia terus menjadi kebimbangan utama Singapura bagi tahun 2025, dengan pesalah paling muda ditahan berusia seawal 12 tahun, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB).
Pengarahnya, Sebastian Tan berkata separuh daripada penagih baharu yang ditahan adalah mereka yang berusia di bawah 30 tahun.
Advertisement
Menurut beliau, methamphetamine kekal menjadi dadah yang paling banyak disalahgunakan sepanjang tahun lepas, diikuti oleh heroin dan ganja.
"Enam daripada 10 penagih ganja baharu yang ditahan adalah individu di bawah usia 30 tahun.
Peratusan pesalah wanita yang ditahan juga menunjukkan peningkatan kepada 19 peratus pada 2025 berbanding 15 peratus daripada jumlah keseluruhan tangkapan pada 2024, manakala satu daripada empat penagih baharu adalah wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Meskipun begitu, Tan menegaskan bahawa situasi dadah haram di republik itu secara keseluruhannya terkawal pada 2025 selepas CNB berjaya menumpaskan 25 sindiket dadah.
Tangkapan itu termasuk sindiket yang menyalahgunakan media sosial untuk meluaskan aktiviti pengedaran dadah serta mereka yang beroperasi dari luar negara untuk membawa masuk bahan terlarang ke Singapura.
"Operasi-operasi ini membawa kepada rampasan dadah bernilai lebih S$21 juta mengikut harga pasaran," katanya lagi.
-- BERNAMA