VANCOUVER: Suspek insiden tembakan tragis di British Columbia, Kanada, dikenal pasti sebagai Jesse Van Rootselaar, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mempunyai sejarah lawatan polis ke rumahnya bagi pemeriksaan kesihatan mental, menurut pihak berkuasa pada Rabu - sehari selepas serangan yang meragut lapan nyawa di kawasan pergunungan Tumbler Ridge.
Menurut Royal Canadian Mounted Police (RCMP), Van Rootselaar ditemui mati akibat kecederaan sendiri selepas menyerang sekolah menengah di komuniti kecil itu.
Advertisement
Siasatan mendapati suspek membunuh ibu kandungnya dan adik tirinya di kediaman mereka sebelum menuju ke sekolah berdekatan untuk melakukan serangan.
Motif kejadian masih belum diketahui.
RCMP pada mulanya melaporkan sembilan kematian, namun jumlah itu diperbetulkan kepada lapan selepas penilaian semula terhadap seorang mangsa yang diterbangkan ke pusat perubatan.
Lebih 25 mangsa cedera, termasuk pelajar dan kakitangan sekolah yang berusia antara 12 hingga 39 tahun.
Tumbler Ridge, sebuah bandar kecil berpenduduk sekitar 2,700 orang di banjaran Rockies, terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Vancouver.
Polis memaklumkan bahawa mangsa merangkumi seorang guru wanita berusia 39 tahun dan lima pelajar berusia antara 12 hingga 13 tahun.
Di sekolah, seorang mangsa ditemui di tangga manakala selebihnya ditemui di kawasan perpustakaan.
Polis mengesahkan suspek tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau kaitan langsung dengan mana-mana mangsa di sekolah.
Pihak berkuasa turut menemui sebilah senapang panjang dan sepucuk pistol yang diubah suai di lokasi kejadian.
Anggota polis tiba hanya dua minit selepas panggilan kecemasan diterima dan turut ditembak ketika tiba di sekolah.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, dalam nada sebak ketika tiba di Parlimen, berkata rakyat negara itu sedang bersedih bersama komuniti Tumbler Ridge atas kehilangan besar ini.
Sebagai tanda berkabung, bendera di semua bangunan kerajaan akan dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari.
Seorang penduduk, Shelley Quist berkata, jirannya kehilangan anak lelaki berusia 12 tahun dalam tragedi itu dan menggambarkan suasana pilu ketika ibu mangsa merintih di jalanan.
Anaknya sendiri, Darian, 17, turut terkandas dalam mod ‘lockdown’ selama lebih dua jam sebelum diselamatkan.
Menurut Quist, sebahagian pelajar berada di perpustakaan — lokasi yang turut menjadi tempat suspek melepaskan tembakan.
Darian berkata, beberapa pelajar sempat menghantar gambar berlumuran darah dari dalam kelas ketika mereka bertahan dengan menghalang pintu menggunakan meja.
Tembakan di sekolah jarang berlaku di Kanada, negara yang mempunyai undang-undang kawalan senjata ketat dan insiden ini dianggap antara paling dahsyat sejak rampasan nyawa 2020 di Nova Scotia.
Datuk Bandar Tumbler Ridge, Darryl Krakowka berkata, komuniti mereka ibarat sebuah keluarga besar dan kehilangan sebegitu ramai penduduk adalah satu tamparan hebat.
Sekolah menengah dan rendah di daerah itu akan ditutup sepanjang minggu bagi memberi ruang kepada siasatan dan sokongan pemulihan komuniti.
Perdana Menteri British Columbia, David Eby pula menyifatkan tragedi itu sebagai “tidak dapat dibayangkan” dan menggesa rakyat wilayah itu untuk memberi sokongan kepada komuniti Tumbler Ridge yang sedang berduka. - Agensi