Skip to main content

Dunia

Bintang ‘Dawson’s Creek’, James Van Der Beek meninggal dunia pada usia 48 tahun

71st Primetime Emmy Awards - Arrivals - Los Angeles, California, U.S., September 22, 2019. James Van Der Beek. REUTERS/Mario Anzuoni
Pelakon terkenal siri remaja Dawson’s Creek, James Van Der Beek, meninggal dunia pada usia 48 tahun selepas bergelut dengan kanser kolorektal selama lebih dua tahun. - Gambar fail Reuters

LOS ANGELES: Pelakon terkenal siri remaja Dawson’s Creek, James Van Der Beek, meninggal dunia pada usia 48 tahun selepas bergelut dengan kanser kolorektal selama lebih dua tahun. 

Berita pemergian aktor kelahiran Connecticut itu disahkan menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi keluarganya.

Advertisement

Dalam kenyataan tersebut, isterinya, Kimberly Van Der Beek, memaklumkan bahawa beliau “menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keberanian, keimanan dan ketenangan,” sambil memohon ruang privasi untuk keluarga melalui tempoh sukar ini. 

Van Der Beek sebelum ini mendedahkan diagnosis kanser kolorektal pada November 2024 dan menjalani rawatan sejak itu. 

Penyakit berkenaan biasanya dikesan pada peringkat lewat kerana simptom yang sering tidak disedari.

Nama Van Der Beek melonjak menerusi watak Dawson Leery dalam siri popular Dawson’s Creek yang bersiaran dari 1998 hingga 2003, menjadikannya ikon budaya pop era tersebut. 

Mendiang turut membintangi filem Varsity Blues dan beberapa siri televisyen lain sepanjang kerjayanya.

Aktor itu meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak. 

Komuniti hiburan antarabangsa serta peminat di seluruh dunia terus membanjiri media sosial dengan ucapan takziah dan penghargaan terhadap legasi seni beliau. - Agensi

Must Watch Video