DUNIA
Singapura mesti kekal luar biasa untuk terus berada di depan - PM Wong

PM Wong berkata Singapura kini sedang memperbaharui strategi ekonominya untuk mengukuhkan daya saing. - Facebook Lawrence Wong
SINGAPURA: Singapura mesti kekal luar biasa untuk terus berada di hadapan ketika dunia semakin tidak menentu berikutan ketegangan geopolitik yang semakin mendalam dan sentimen perlindungan perdagangan yang meningkat, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Dalam perutusan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-60 negara itu, Wong yang juga Menteri Kewangan menegaskan keperluan bagi Singapura bergerak lebih pantas, menyesuaikan diri dengan lebih cepat, dan berinovasi dengan lebih bijak melalui penerapan teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik, serta mengaplikasikannya secara bermakna dalam seluruh ekonomi.
"Kita mesti membolehkan rakyat, pekerja dan perniagaan memanfaatkan sepenuhnya alat ini, sekali gus mempertajam kelebihan daya saing kita.
"Kadar perubahan akan berlaku dengan pantas dan tidak selalunya selesa. Akan ada gangguan. Tidak semua orang akan mendapati peralihan ini mudah," katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan yang dirakamkan lebih awal di Padang.Wong berkata kerajaan akan terus bersama rakyat dalam perjalanan ini, termasuk dengan memperluas peluang pembelajaran dan peningkatan kemahiran, mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, serta membantu setiap rakyat Singapura yang berdepan cabaran untuk bangkit semula.
Beliau berkata Singapura kini sedang memperbaharui strategi ekonominya untuk mengukuhkan daya saing, memperdalam keupayaan dan menjamin masa depannya.
Pada 4 Ogos, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan lima jawatankuasa bagi melaksanakan Kajian Strategi Ekonomi untuk meneliti idea dan pendekatan baharu yang bertujuan mengukuhkan daya saing global dan kerelevanan ekonomi negara itu.
Sementara itu, Wong turut menggesa rakyat Singapura kekal bersatu, sambil menegaskan bahawa sebagai sebuah negara kecil, ia tidak mampu untuk berpecah-belah.
"Apabila kita berdiri bersama, tiada apa yang tidak dapat kita atasi. Kita mungkin datang daripada kaum yang berbeza, bertutur dalam bahasa yang berbeza, dan menganut kepercayaan yang berbeza. Namun kita terikat oleh sesuatu yang lebih mendalam: komitmen bersama terhadap satu sama lain dan kepada Singapura," katanya.
Singapura akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60 dengan Perbarisan Hari Kebangsaan pada Sabtu di Padang - lokasi bersejarah di mana Yusof Ishak, Ketua Negara pertama Singapura, dilantik ketika negara itu menjadi negeri yang memerintah sendiri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami