Pasukan Polis Singapura (SPF) memperkenalkan kod amalan (COP) baharu dan dipertingkat di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) bagi memperkukuh langkah perlindungan daripada ancaman penipuan yang semakin berkembang.
Dalam kenyataan pada Selasa, SPF memaklumkan semua platform yang ditetapkan perlu melaksanakan sistem dan langkah bersesuaian bagi mematuhi COP baharu itu selewat-lewatnya pada 31 Jan 2027.
COP berkenaan mewajibkan perkhidmatan pemesejan dan persidangan video dalam talian, platform media sosial serta perkhidmatan e-dagang mengambil langkah proaktif untuk membanteras penipuan dan aktiviti siber berniat jahat yang menyasarkan pengguna di Singapura.
Di bawah kod media sosial, SPF berkata penyedia platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok perlu mengambil langkah lebih tegas termasuk menghalang iklan mencurigakan daripada disiarkan serta segera menurunkan iklan yang disyaki mempunyai unsur penipuan.
"Platform berkenaan juga perlu mengesahkan identiti pengiklan dengan melakukan semakan berdasarkan rekod yang dikeluarkan kerajaan dan tidak membenarkan penyiaran iklan yang menawarkan perkhidmatan kewangan melainkan pengiklan mempunyai lesen," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di bawah kod pemesejan, penyedia platform perlu melaksanakan langkah bagi menyukarkan individu tidak dikenali daripada menghubungi pengguna serta memberi amaran kepada pengguna mengenai potensi risiko penipuan daripada individu berkenaan.
Kod itu akan diperkenalkan dan diguna pakai terhadap tujuh perkhidmatan pemesejan dan persidangan dalam talian yang dikenal pasti mempunyai risiko penipuan tertinggi kepada pengguna di Singapura iaitu WhatsApp, Telegram, WeChat, Apple iMessage, Apple FaceTime, Google Messages dan Google Meet, menurut SPF.
COP yang dipertingkat bagi perkhidmatan e-dagang, yang turut terpakai kepada Carousell, Facebook Marketplace dan Facebook Business Pages, memperkukuh keperluan sedia ada berkaitan pengesahan penjual dan perlindungan pembayaran.
"Platform e-dagang yang ditetapkan perlu memperkenalkan langkah persetujuan yang lebih ketat sebelum membenarkan pengguna log masuk menerusi peranti baharu atau tidak dikenali.
"Kod e-dagang yang dipertingkat itu turut mengguna pakai langkah perlindungan yang diperkenalkan dalam kod media sosial bagi melindungi pengguna akhir daripada penyalahgunaan iklan dalam talian oleh pelaku penipuan," menurut SPF.
-- BERNAMA