INTERNATIONAL
Singapura sedia hos pertemuan Trump-Kim pada 12 Jun

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata mesyuarat itu adalah "langkah penting ke arah kedamaian". - Gambar fail
Singapura kini bersedia buat julung kalinya menganjurkan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald J Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada 12 Jun.
"Kami berharap mesyuarat ini akan menyegerakan prospek perdamaian di Semenanjung Korea," kata Menteri Luar Singapura," dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat Khamis.
Terdahulu Trump mengumumkan tarikh dan lokasi pertemuan bersejarah itu melalui akaun Twitternya.
"Pertemuan yang sangat dinanti-nantikan antara Kim Jong Un dan saya akan diadakan di Singapura pada 12 Jun. Kami akan cuba menjadikannya detik istimewa bagi Keamanan Dunia," katanya.
Dilaporkan pengumuman Singapura dipilih sebagai lokasi pertemuan bersejarah itu disiarkan dalam Twitter presiden selepas beberapa jam Trump menyambut kepulangan tiga tahanan warga Amerika Syarikat yang dibebaskan Pyongyang.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata mesyuarat itu adalah "langkah penting ke arah kedamaian".
"Semoga ia menghasilkan kejayaan," katanya membalas tweet Trump.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami