SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin mengumumkan komitmen sebanyak S$220 juta (S$1=RM3.16) bagi tempoh tiga tahun bagi memperkukuhkan ekosistem teknologi kewangan (fintech) Singapura.
Menurut MAS, peruntukan di bawah Skim Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan (FSTI 4.0) yang diperbaharui itu bertujuan mempercepatkan penerimaan inovasi dan teknologi merentasi sektor kewangan.
“FSTI 4.0 dibina di atas asas sektor fintech Singapura yang kukuh, yang kini menempatkan lebih 1,800 firma fintech yang menggajikan hampir 10,000 pekerja profesional merentasi bidang teknologi, data, kecerdasan buatan (AI), tadbir urus, keselamatan siber dan perniagaan.
“Pelaburan fintech di Singapura mencecah S$2.9 bilion pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut MAS, FSTI 4.0 akan dilaksanakan menerusi enam trek yang merangkumi inovasi institusi, penggunaan AI, infrastruktur dan platform, serta pembangunan bakat.
“FSTI 4.0 akan menyokong firma fintech pada setiap peringkat pertumbuhan, daripada membangunkan penyelesaian baharu hinggalah kepada penskalaan di peringkat serantau dan global.
“Menerusi pelaburan dalam infrastruktur, teknologi sempadan dan bakat tempatan, skim ini akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab fintech yang bertenaga dan berdaya saing,” tambahnya.
-- BERNAMA