RIYADH: Tentera Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh pada Selasa, selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan ancaman di ibu negara itu.
Jurucakap gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman, Turki Al-Malki berkata, peluru berpandu berkenaan dilancarkan oleh kumpulan Houthi dan menyasarkan Riyadh.
Wartawan agensi media antarabangsa AFP yang berada di ibu negara Arab Saudi itu melaporkan terdengar dua letupan susulan kejadian berkenaan.
“Amaran telah dikeluarkan oleh Platform Amaran Awal Kebangsaan di bandar Riyadh bagi memberi peringatan mengenai kemungkinan ancaman,” menurut Pertahanan Awam Arab Saudi menerusi kenyataan di platform X.
Bagaimanapun, amaran itu ditarik balik beberapa minit kemudian selepas pihak berkuasa memaklumkan bahawa ancaman berkenaan telah berakhir.
Pada sebelah malam, Al-Malki turut melaporkan sebuah dron dipintas di kawasan Riyadh.
Serangan Houthi terhadap Arab Saudi dilaporkan meningkat ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini sehingga memaksa sebuah persidangan pelaburan utama ditangguhkan.
Perkembangan itu turut memberi tekanan terhadap usaha Riyadh untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan mempelbagaikan ekonominya.
Serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran sebelum ini turut menyebabkan Lapangan Terbang Riyadh terpaksa ditutup.
Tentera udara Arab Saudi pula secara berkala melancarkan serangan terhadap kumpulan berkenaan sebagai tindak balas, ketika pertempuran berterusan di Yaman antara Houthi dengan kerajaan yang disokong Riyadh.
Ketegangan kembali memuncak pada Julai selepas gencatan senjata rapuh yang bermula pada 2022 gagal dipertahankan.
Ia berlaku selepas Houthi membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di ibu negara Yaman, Sanaa, bertentangan dengan kawalan Riyadh terhadap ruang udara negara berkenaan, sekali gus mencetuskan siri serangan baharu.
Houthi kemudiannya mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mula menyasarkan kapal, wilayah serta kemudahan minyak negara itu.
Pada September, kumpulan berkenaan turut menawan wilayah yang sebelum ini dikuasai kerajaan di sepanjang pesisir Laut Merah dalam satu kempen ketenteraan pantas. - Agensi