Skip to main content

Malaysia

Gangguan Google Cloud jejaskan bank, peruncit dan perkhidmatan penghantaran di UK

Google Cloud mengesahkan isu yang menjejaskan pelbagai perkhidmatan di pusat infrastrukturnya di Eropah Barat dengan gangguan itu dilaporkan turut melibatkan infrastrukturnya yang berpangkalan di London. - Gambar hiasan/REUTERS
Google Cloud mengesahkan isu yang menjejaskan pelbagai perkhidmatan di pusat infrastrukturnya di Eropah Barat dengan gangguan itu dilaporkan turut melibatkan infrastrukturnya yang berpangkalan di London. - Gambar hiasan/REUTERS

Advertisement

LONDON: Gangguan yang menjejaskan infrastruktur Google Cloud di Eropah Barat menyebabkan beberapa perkhidmatan dalam talian di United Kingdom (UK) dan antarabangsa mengalami gangguan pada Selasa, termasuk aplikasi perbankan, peruncit dan syarikat penghantaran, lapor Anadolu Ajansi.

Penyedia perkhidmatan kewangan Revolut, Lloyds Bank dan HSBC antara yang terjejas manakala peruncit barangan pembaikan rumah Screwfix serta syarikat penghantaran DPD turut mengalami masalah, menurut Downdetector, platform yang menjejaki laporan pengguna mengenai gangguan perkhidmatan.

Jutaan pelanggan Revolut dilaporkan tidak dapat mengakses akaun atau membuat pembayaran menggunakan kad berikutan gangguan sistem itu. Platform perbankan digital berkenaan, yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 80 juta pelanggan di seluruh dunia, termasuk 13 juta di UK, memaklumkan bahawa beberapa perkhidmatannya tidak tersedia akibat “gangguan perkhidmatan”.

Google Cloud mengesahkan isu yang menjejaskan pelbagai perkhidmatan di pusat infrastrukturnya di Eropah Barat dengan gangguan itu dilaporkan turut melibatkan infrastrukturnya yang berpangkalan di London.

“Kami sedang mengalami masalah yang melibatkan pelbagai perkhidmatan di rantau ‘europe-west2’ sejak Isnin,” menurut kenyataan syarikat itu.

“Pasukan kejuruteraan kami terus menyiasat isu berkenaan. Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terjejas akibat gangguan.”

Google memaklumkan bahawa pasukan produk dan kejuruteraannya sedang berusaha memulihkan perkhidmatan, sambil memberi amaran bahawa pelanggan yang terjejas mungkin mengalami kegagalan sambungan dan kelewatan.

“Pasukan produk dan kejuruteraan kami sedang giat berusaha untuk memulihkan ketersediaan perkhidmatan sepenuhnya,” menurut syarikat itu.

“Pelanggan yang terjejas mungkin mengalami kegagalan sambungan sesi ketika mengakses Google Security Operations, selain kelewatan dalam aliran kerja platform.”

Menurut syarikat itu, tiada penyelesaian sementara yang tersedia ketika kejadian dan mengesahkan bahawa siasatan bagi mengenal pasti punca gangguan sedang dijalankan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement