DUNIA
Singapura seru Kemboja, Thailand redakan ketegangan

MFA memaklumkan tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang cedera akibat insiden itu dan menasihatkan mereka untuk menangguhkan perjalanan ke kawasan sempadan. - Foto MFA
SINGAPURA: Singapura menyeru Kemboja dan Thailand agar meredakan ketegangan melalui saluran diplomatik dan memastikan keselamatan semua orang awam susulan insiden pertempuran pada Khamis.
"Singapura amat bimbang dengan pertempuran itu dan menggesa kedua-dua negara supaya menahan diri serta menghentikan permusuhan," kata jurucakap Kementerian Luar (MFA) sebagai menjawab pertanyaan media lewat Khamis.
MFA memaklumkan tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang cedera akibat insiden itu dan menasihatkan mereka untuk menangguhkan perjalanan ke kawasan sempadan.
"Rakyat Singapura di Kemboja dan Thailand dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan berita, mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan dan berwaspada demi keselamatan diri," menurut kenyataan itu lagi.Tentera Thailand dan Kemboja dilaporkan bertempur awal Khamis di kawasan yang dipertikaikan di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain mencetuskan konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara dua negara jiran Asia Tenggara itu semakin memuncak sejak 28 Mei, susulan pertempuran maut di kawasan sempadan berhampiran Preah Vihear yang menyebabkan seorang tentera Kemboja terbunuh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami