SINGAPURA: Agensi Air Nasional Singapura (PUB) telah menyiapkan Tataamalan Perlindungan Pantai (CPCOP) baharu yang menetapkan keperluan bagi melindungi pesisir pantai daripada kenaikan aras laut serta risiko berkaitan iklim yang lain.
Dalam satu kenyataan, PUB menyatakan bahawa tataamalan itu menghendaki langkah perlindungan pantai direka bentuk dengan tahap kebolehsuaian yang mencukupi bagi menampung unjuran iklim pada masa hadapan, termasuk kenaikan aras laut, di samping menetapkan tahap perlindungan dan piawaian reka bentuk yang jelas.
CPCOP turut menetapkan keperluan bagi operasi, pemeriksaan dan penyelenggaraan infrastruktur perlindungan pantai serta akan menjadi panduan kepada pemilik tanah dan pemain industri dalam memenuhi tanggungjawab mereka di bawah Akta Pembetungan, Saliran dan Perlindungan Pantai (SDCPA).
Tataamalan berkenaan akan berkuat kuasa pada 2028 dan melengkapi Tataamalan Saliran Air Permukaan sedia ada yang mengawal pengurusan air hujan. Kedua-dua kerangka itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tahan Singapura terhadap banjir.
"CPCOP merupakan langkah proaktif ke arah membina garis pantai yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
"Dengan menetapkan piawaian yang jelas serta menggalakkan perancangan yang boleh disesuaikan, ia memastikan kawasan pantai kekal selamat, berfungsi dan mampan untuk generasi akan datang," menurut kenyataan itu pada Rabu.
-- BERNAMA