SINGAPURA: Singapura menyiasat 45 syarikat yang terlibat dalam operasi di Lapangan Terbang Changi kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Penggajian Tenaga Kerja Asing 1990 (EFMA), termasuk membuat pengisytiharan palsu dan menempatkan pekerja asing secara tidak sah, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Dalam kenyataan pada Isnin, kementerian itu memaklumkan bahawa pemeriksaan baru-baru ini di Lapangan Terbang Changi mendapati pemegang Pas Pekerjaan (EP) ditugaskan menjalankan kerja pengendalian bagasi.
"Siasatan awal menunjukkan bahawa maklumat gaji dan jenis pekerjaan yang diisytiharkan kepada MOM bagi pemegang EP berkenaan adalah palsu.
"Pemegang pas kerja lain juga didapati menjalankan tugas pengendalian bagasi yang berbeza daripada pekerjaan yang diisytiharkan," menurut MOM.
Kementerian itu memaklumkan bahawa siasatan mengenal pasti kira-kira 270 pekerja yang penempatan tugas mereka mungkin tidak mematuhi peraturan pas kerja. Kesemua pekerja itu digajikan oleh kontraktor dan subkontraktor SATS.
SATS ialah syarikat berpangkalan di Singapura yang menyediakan perkhidmatan pengendalian kargo udara dan katering penerbangan serta beroperasi di Lapangan Terbang Changi.
"MOM telah mengarahkan SATS supaya memperkukuh pemantauan terhadap syarikat yang dilantiknya sebagai kontraktor, termasuk memastikan pekerja asing ditempatkan mengikut syarat pas kerja masing-masing serta membetulkan sebarang ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
"MOM juga telah mengeluarkan notis nasihat kepada syarikat lain yang terlibat dalam operasi SATS bagi menegaskan kewajipan mereka mematuhi EFMA dan syarat pas kerja yang berkenaan," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA