SINGAPURA: Singapura telah mengulangi komitmennya terhadap usaha kolektif ASEAN dalam memperkukuh daya tahan tenaga di tengah-tengah krisis tenaga global dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM), pada Isnin.
Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan Gan Siow Huang berkata situasi yang sedang berlaku di Asia Barat menekankan kepentingan kritikal kerjasama serantau dalam memperkukuh dan memajukan daya tahan tenaga.
Advertisement
"Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan Negara Anggota ASEAN untuk memperkukuh kesiapsiagaan, mempelbagaikan sumber tenaga, dan memajukan integrasi tenaga serantau.
"Bersama-sama, kita akan berusaha untuk menjaga keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi rantau ini dalam mengharungi masa yang mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) semalam.
AMEM diadakan secara maya pada 27 April, dipengerusikan oleh Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Sharon S. Garin untuk membincangkan kesan situasi di Asia Barat terhadap keselamatan tenaga serantau dan global.
MTI menyatakan mesyuarat itu menekankan kepentingan tindakan serantau yang diselaraskan susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat, yang menimbulkan risiko kepada pasaran tenaga dan rantaian bekalan, terutamanya minyak dan gas.
Menurut kementerian itu, perbincangan berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memajukan daya tahan tenaga melalui kepelbagaian sumber, mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu, serta meneroka teknologi baharu.
"Menteri-menteri ASEAN mengulangi tanggungjawab kolektif mereka untuk menjaga keselamatan tenaga serantau melalui kerjasama yang diperkukuh, tindak balas dasar yang tepat pada masanya, serta penglibatan dengan rakan dialog.
Mereka menekankan kepentingan mengekalkan laluan laut yang selamat dan terbuka bagi memastikan aliran bekalan tenaga yang berterusan, yang amat kritikal bagi kestabilan ekonomi serantau," katanya.
Menurut MTI, mesyuarat itu diakhiri dengan pendirian bersatu ASEAN untuk meningkatkan keselamatan dan daya tahan tenaga menerusi kerjasama serta penyelarasan serantau.
-- BERNAMA