Skip to main content

Malaysia

Dua ahli Geng Mat Lan Keladi ditahan, sembilan kes curi kabel di Kangar berjaya diselesaikan

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop (dua, kiri) menunjukkan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel pada sidang media kejayaan menumpaskan Geng Mat Lan Keladi hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop (dua, kiri) menunjukkan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel pada sidang media kejayaan menumpaskan Geng Mat Lan Keladi hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Dua lelaki ahli Geng Mat Lan Keladi ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kecurian kabel milik Telekom Malaysia di Kangar.
  • Polis merampas lapan batang kabel TM dan pelbagai peralatan mencuri, dengan kerugian dianggarkan RM4,000 serta lima lagi suspek masih diburu.
  • Tangkapan dua suspek dipercayai berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel di Kangar sejak Januari hingga Oktober tahun ini.
Advertisement

KANGAR: Polis menahan dua lelaki daripada ahli Geng Mat Lan Keladi yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di hadapan Dataran Keris, Jalan Kangar-Alor Setar di sini pada 17 Nov.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata lelaki berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan pihak polis pada 4.35 pagi, selepas bertindak atas maklumat orang awam yang dipercayai berlaku kecurian kabel di kawasan sebuah stesen minyak di Taman Kemajuan di sini, pada 4.25 pagi.

Beliau berkata setibanya pihak polis di kawasan stesen minyak berkenaan mendapati, terdapat tiga kereta dengan dipercayai ada tujuh lelaki terlibat dalam kecurian kabel ketika itu sebelum mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis di situ.

Advertisement

“Polis mengejar suspek dan berjaya memintas kereta jenis BMW dinaiki dua suspek ini, manakala dua lagi kereta iaitu Volvo dan Volkswagen yang dipercayai ada lagi lima suspek lelaki terlibat berusia antara 30 hingga 50 tahun, terlepas melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini hari ini.

Yusharifuddin berkata polis percaya ahli geng itu terdiri daripada tujuh lelaki berkenaan dengan lima lagi lelaki yang masih bebas itu, sedang dikesan pihak polis termasuk ketua kumpulan mereka dan geng itu dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri kabel dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini.

Advertisement

“Polis turut merampas lapan batang kabel milik TM yang telah dipotong anggaran dua meter setiap satu dan pelbagai peralatan mencuri kabel, manakala jumlah kerugian dialami TM dianggarkan RM4,000,” katanya.

Beliau berkata pihak polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel direkodkan di daerah Kangar, bagi tempoh Januari hingga Oktober menerusi tangkapan dua suspek itu.

Yusharifuddin berkata lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai 33 rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik, manakala lelaki berumur 35 tahun itu pula memiliki tiga rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik.

“Permohonan reman pertama terhadap dua suspek ini dibenarkan dari 18 hingga 21 Nov, manakala reman kedua terhadap mereka dibenarkan selama tiga hari bermula 21 hingga 24 Nov. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kecurian kabel diminta tampil menyalurkan maklumat ke IPD Kangar menerusi talian 04-9082340 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement