SINGAPURA:Singapura telah memperuntukkan sejumlah S$107 bilion di bawah bajet 'Muncul Kukuh Bersama' untuk menangani cabaran jangka terdekat serta membolehkan republik itu keluar daripada krisis COVID-19 dengan lebih mantap.

"Memandangkan kesan COVID-19 yang tidak pernah dijangka, kami akan melaksanakan defisit fiskal bagi menyokong bantuan yang disasarkan dalam jangka masa terdekat," kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Heng Swee Keat ketika membentangkan belanjawan itu di Parlimen hari ini.

Heng memberitahu bahawa presiden republik itu, Halimah Yacob telah memberikan sokongan secara prinsipnya untuk cadangan pengambilan sehingga S$11 bilion daripada Rizab Lepas dalam tahun kewangan semasa.

Jumlah pengeluaran daripada Rizab Lepas sejak tahun kewangan 2020 dijangka mencecah sehingga S$53.7 bilion, kata menteri itu.

"Fiskal kami diramal menjadi lebih sempit pada tahun-tahun akan datang. Tetapi di luar krisis ini, kami perlu kembali mewujudkan belanjawan yang seimbang," kata Heng.

Antara lain, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak S$11 bilion untuk Pakej Daya Tahan COVID-19 di bawah bajet itu.

"Pakej ini akan menangani keperluan segera kami dalam menjaga kesihatan rakyat termasuk pembukaan semula secara selamat, menyokong pekerja dan perniagaan yang mana diperlukan serta membantu sektor yang masih berada di bawah tekanan," katanya.

Singapura kini berada di Fasa Tiga dalam pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosialnya sejak 28 Dis 2020.

Tahun lepas, republik tersebut melancarkan empat pakej fiskal bagi menyokong golongan pekerja dan perniagaan, memperuntukkan hampir S$100 bilion untuk menangani kesan COVID-19.

Setakat ini, Singapura melaporkan sebanyak 59,810 kes yang disahkan positif COVID-19

-- BERNAMA