Sisa perang dan bahan letupan di Gaza timbulkan risiko - Pegawai PBB

Bahan letupan aktif yang tidak meletup di Gaza menimbulkan ancaman serius kepada orang awam. - Gambar/ Reuters
NEW YORK: Ketua Program Tindakan Periuk Api di Wilayah Palestin, Julius Van Der Walt memberi amaran bahawa sisa perang dan bahan letupan aktif yang tidak meletup menghalang pemulihan di Gaza, dengan kanak-kanak menjadi kumpulan paling berisiko, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Dalam kenyataan media pada Rabu, Van Der Walt berkata bahan letupan aktif yang tidak meletup di Gaza menimbulkan ancaman serius kepada orang awam, khususnya ketika ratusan ribu penduduk pulang ke rumah dan kejiranan masing-masing susulan gencatan senjata.
Beliau berkata lebih dua tahun serangan intensif Israel di Gaza telah menyebabkan pencemaran meluas dengan bahan letupan, sekali gus menjejaskan penghantaran bantuan kemanusiaan, melambatkan pemulihan sektor itu dan menjadikan kerja pembinaan semula amat berbahaya, selain mengancam nyawa orang awam.
Van Der Walt menjelaskan bahawa pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdepan bahaya bahan letupan hampir setiap hari di pelbagai kawasan di Gaza dan keluarga yang bergerak dalam wilayah itu turut terdedah kepada risiko sama.
Pegawai PBB itu berkata tiada data tepat mengenai sejauh mana pencemaran bahan letupan di Gaza, namun petunjuk kukuh menunjukkan kewujudannya secara meluas di hampir semua kawasan.
Perkhidmatan Tindakan Periuk Api PBB beroperasi di Gaza sejak Oktober 2023.
Sejak itu, kata Van Der Walt, lebih 650 objek berbahaya dikenal pasti, dengan sebahagian besar daripadanya ialah bahan letupan aktif yang tidak meletup dan peranti letupan buatan sendiri.
Beliau turut menekankan bahawa keluasan Gaza yang kecil dan kepadatan penduduk yang tinggi menjadikan situasi di wilayah itu lebih rumit berbanding zon konflik lain seperti Syria dan Lubnan.
Van Der Walt memberi amaran bahawa penduduk yang pulang ke rumah masing-masing perlu berhati-hati sepenuhnya dan segera melaporkan sebarang objek mencurigakan.
Objek-objek berkenaan sangat sensitif dan boleh meletup pada bila-bila masa, berpotensi menyebabkan kematian atau kecederaan serius, selain melepaskan bahan toksik, kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


