GAZA: Pegawai kesihatan di Gaza pada Sabtu memberi amaran mengenai krisis kesihatan yang meruncing di wilayah berkenaan, dengan kekurangan kritikal bekalan ubat-ubatan, peralatan dan perkhidmatan ambulans yang kini mengancam ratusan ribu pesakit, lapor Xinhua.
Pengarah Pertubuhan Bantuan Perubatan di Gaza, Mohammed Abu Afash berkata sistem kesihatan di sini masih belum menerima konvoi bantuan perubatan yang dijanjikan sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, sekali gus mengakibatkan kekurangan kritikal ubat-ubatan serta peralatan, dengan defisit bekalan ujian perubatan melebihi 87 peratus.
Beliau berkata lebih 24,000 pesakit yang menghidap penyakit kronik kini kekurangan penjagaan yang sewajarnya, manakala sebilangan besar daripada lebih 300,000 pesakit hipertensi mengalami komplikasi serius akibat gangguan dalam rawatan mereka.
Memandangkan cuaca panas musim panas yang semakin teruk, beliau memberi amaran mengenai penularan pantas penyakit berjangkit di kem-kem pelarian yang sesak.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 70 peratus daripada kenderaan ambulans kini tidak dapat beroperasi akibat disasarkan secara langsung, mengalami kerosakan mekanikal serta kekurangan alat ganti.
Mereka turut memberi amaran bahawa sekatan berterusan terhadap kemasukan tayar dan alat ganti boleh melumpuhkan sistem pengangkutan berkenaan.
Situasi yang semakin meruncing itu mendapat kecaman daripada pegawai Fatah, Munther al-Hayek, yang dalam satu temu bual radio menyifatkan keadaan itu sebagai "perang berskala penuh yang diterajui oleh Amerika Syarikat menerusi Israel".
Gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.
-- BERNAMA-XINHUA