Bekas kontraktor Agensi Keselamatan Amerika Syarikat (NSA), Edward Snowden suspek dikehendaki Washington memohon suaka politik di Ecuador. Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Luarnya, Ricardo Patino.

Permohonan dibuat sejurus beliau tiba di Moscow pada Ahad. Snowden dipercayai menetap di sebuah hotel transit sebelum meneruskan perjalanan ke Ecuador.

Perkara sama turut disahkan Wikileaks yang mendakwa suspek buruan Amerika Syarikat itu diiringi beberapa diplomat dan penasihat undang-undang.

Berita ketibaannya turut menjadi tumpuan wartawan yang menunggu di lapangan terbang.

Beliau dibenarkan meninggalkan Hong Kong walaupun Amerika Syarikat memfailkan permohonan ekstradisi ke atasnya beberapa hari lalu.

Bagaimanapun pihak berkuasa Hong Kong memaklumkan permohonan dikemukakan Washington itu tidak memenuhi syarat dan terpaksa ditolak.

Washington sebelum ini mendakwa Snowden dengan kesalahan pengintipan. Ia termasuk kesalahan mencuri harta kerajaan serta membocorkan maklumat pertahanan rahsia.

Beliau berada di Hong Kong selama beberapa minggu selepas melakukan pendedahan berkenaan.

Akhbar tempatan melaporkan Snowden mendakwa mempunyai maklumat terkini berhubung aktiviti pengintipan Amerika Syarikat, termasuk kegiatan menggodam syarikat telefon bimbit dan mensasarkan sebuah universiti.