Somaliland: Liga Arab gesa UNSC ambil tindakan tegas terhadap pengiktirafan Israel

Seorang wanita memegang bendera Somalia ketika rakyat negara itu mengadakan demonstrasi susulan pengiktirafan Israel terhadap Somaliland sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, di daerah Hodan, Mogadishu, Somalia, 28 Dis 2025. REUTERS
KAHERAH/ISTANBUL: Liga Arab pada Ahad menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya mengambil pendirian tegas terhadap pengiktirafan "tidak sah" Israel ke atas wilayah pemisah Somaliland, sambil memberi amaran bahawa langkah itu mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Liga Arab mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk bertindak tegas menentang pengiktirafan Israel terhadap Somaliland yang dianggap tidak sah, mengancam keamanan antarabangsa.
- Desakan itu berikutan pengiktirafan Israel terhadap wilayah barat laut Somalia yang dikenali sebagai Somaliland, dipandang sebagai ancaman terhadap agenda politik, keselamatan, dan ekonomi yang tidak dapat diterima.
- Kesan pengiktirafan Israel tersebut telah menimbulkan kecaman daripada pelbagai negara termasuk Turkiye, sekutu Somalia, serta disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan ancaman terhadap kestabilan serantau.
Ia turut menegaskan "penolakan mutlak" terhadap sebarang langkah susulan pengiktirafan itu yang boleh memudahkan rancangan pemindahan paksa rakyat Palestin atau membenarkan penggunaan pelabuhan di utara Somalia bagi penubuhan pangkalan ketenteraan.
Mesyuarat itu turut meminta Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit, untuk secara rasmi menghubungi presiden UNSC, setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika bagi menggesa mereka mengambil "pendirian tegas" terhadap pengiktirafan Israel terhadap Somaliland, yang disifatkan sebagai satu langkah mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Israel pada Jumaat menjadi negara pertama di dunia yang mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat, sekali gus mencetuskan kecaman daripada Turkiye, sekutu rapat Somalia, serta beberapa negara di Afrika dan Asia Barat.
Bantahan antarabangsa terhadap pengiktirafan Israel itu terus meningkat, dengan banyak negara menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta ancaman terhadap kestabilan serantau.
Somaliland, yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, masih belum menerima pengiktirafan rasmi antarabangsa walaupun berfungsi sebagai entiti pentadbiran, politik dan keselamatan de facto, manakala kerajaan pusat Somalia masih bergelut untuk mengukuhkan kawalan ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

