Skip to main content

Dunia

SpaceX failkan permohonan IPO, buka laluan Elon Musk jadi trilionair pertama dunia

FILE PHOTO: Elon Musk waves to the crowd during the 56th annual World Economic Forum (WEF) meeting in Davos, Switzerland, January 22, 2026. REUTERS/Denis Balibouse/File Photo
SpaceX telah memfailkan permohonan awal secara senyap untuk tawaran awam permulaan (IPO), yang dijangka boleh berlaku seawal Jun atau Julai. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Syarikat penerokaan angkasa lepas, SpaceX, dilaporkan telah mengambil langkah awal untuk disenaraikan di pasaran saham buat pertama kali, satu perkembangan yang berpotensi membuka laluan kepada pengasasnya, Elon Musk, untuk menjadi trilionair pertama di dunia.

Laporan media pada Rabu menyatakan SpaceX telah memfailkan permohonan awal secara senyap untuk tawaran awam permulaan (IPO), yang dijangka boleh berlaku seawal Jun atau Julai.

Advertisement

Penyenaraian itu dianggarkan mampu mengumpul sehingga AS$75 bilion, sekali gus menjadi antara IPO terbesar dalam sejarah moden.

Pakar menyifatkan penilaian SpaceX berkemungkinan berubah-ubah, bergantung pada tahap keyakinan pelabur terhadap visi jangka panjang Musk.

“Seperti Tesla, penilaian SpaceX boleh turun naik dengan ketara berdasarkan sejauh mana orang awam percaya kepada visi Musk,” kata Angelo Bochanis dari Renaissance Capital kepada Reuters.

Setakat ini, minat pelabur terhadap SpaceX dilihat sangat tinggi, terutamanya kerana kedudukannya sebagai syarikat swasta paling bernilai di dunia.

Status itu diperkukuh lagi selepas penggabungan SpaceX dengan syarikat kecerdasan buatan milik Musk, xAI, pada Februari lalu.

SpaceX telah lama menarik perhatian pelabur menerusi operasi pelancaran roket dan perniagaan satelitnya.

Anak syarikatnya, Starlink, kini muncul sebagai syarikat komunikasi satelit terbesar di dunia, dengan perkhidmatan digunakan secara meluas di pelbagai negara.

Musk juga terkenal dengan kenyataan berani mengenai masa depan SpaceX, termasuk rancangan membina pangkalan di bulan dan menghantar manusia ke Marikh.

Namun, beberapa sasaran itu dianggap mencabar untuk direalisasikan mengikut jadual asal.

Tahun lalu, Musk mengakui peluang untuk menghantar misi tanpa kru ke Marikh menjelang akhir 2026 adalah sekitar 50 peratus.

Walaupun Musk sering mencetuskan kontroversi berhubung pendirian politik dan hubungannya dengan tokoh berhaluan kanan, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, penganalisis percaya IPO SpaceX tetap akan menarik sambutan besar.

“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai Musk mengendalikan beberapa syarikat besar serentak dan imej awamnya yang kadangkala kontroversi, SpaceX mempunyai kelebihan tersendiri,” kata Naib Presiden firma kewangan IPOX, Kat Liu.

Menurutnya, SpaceX merupakan perniagaan yang matang dari segi operasi, mendahului teknologi dan sudah mencatat keuntungan.

Firma penyelidikan PitchBook menganggarkan penyenaraian awam itu boleh melonjakkan penilaian SpaceX sehingga hampir AS$1.5 trilion, hampir dua kali ganda berbanding nilainya pada Disember lalu.

Jika direalisasikan, IPO bernilai AS$75 bilion itu akan mengatasi rekod tawaran awam terbesar dunia yang kini dipegang syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, pada 2019.
 

Must Watch Video