KUALA LUMPUR: Jerebu di Sarawak terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila beberapa kawasan merekodkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), namun enam stesen pengawasan kualiti udara di negeri itu masih berada dalam kategori tidak sihat setakat jam 3 petang ini.
Berdasarkan data pengurusan kualiti udara terkini, stesen pengawasan kualiti udara di Serian kekal mencatatkan bacaan IPU tertinggi negara pada paras 157, turun tiga mata berbanding jam 2 petang.
Penurunan paling ketara direkodkan di Samarahan yang susut 33 mata kepada 116, manakala Sibu dan Sarikei masing-masing turun satu mata untuk mencatat bacaan 153.
Kuching pula kekal pada bacaan 152, sementara Mukah meningkat dua mata kepada 104 tetapi masih berada dalam kategori tidak sihat.
Dalam kategori sederhana, Sri Aman terus menunjukkan peningkatan apabila bacaannya menurun kepada 88.
Di Semenanjung Malaysia, kualiti udara kekal pada tahap baik dan sederhana.
Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU tertinggi di Semenanjung pada paras 77, diikuti Paka, Terengganu (76) dan Kluang, Johor (73).
Di Negeri Sembilan, Nilai dan Seremban masing-masing kekal pada bacaan 71 dan 60.
Bagi kawasan dalam kategori baik, Shah Alam mencatat bacaan tertinggi pada paras 47, diikuti Kemaman (45), Petaling Jaya (44) dan Klang (40).
Secara keseluruhan, Langkawi terus merekodkan kualiti udara terbaik di negara ini dengan bacaan IPU 19, manakala Balik Pulau mencatat bacaan 21.