KUALA LUMPUR: Majlis Diplomatik atau The Diplomatic Council (TDC) dilancarkan secara rasmi pada Isnin (8 Jun) sempena Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF) 2026 di St Petersburg, Rusia.
Ia merupakan permulaan lembaran baharu dalam penglibatan antarabangsa, menghimpunkan diplomat, pembuat dasar, pemimpin perniagaan, ahli akademik, organisasi kemanusiaan serta pemimpin muda di bawah satu visi bersama untuk memupuk keamanan, kepercayaan dan kemajuan mampan melalui diplomasi serta tindakan kolaboratif.
TDC berhasrat memperkukuh kerjasama antarabangsa dan mewujudkan platform bermakna bagi dialog, kerjasama dan inovasi, sekali gus mempromosi dunia yang disatukan oleh nilai bersama dan saling menghormati, kata TDC dalam satu kenyataan.
Presiden TDC Nehsan Selvaraj menerusi ucapannya pada majlis pelancaran menekankan mengenai kepentingan memperkukuh kerjasama diplomatik dalam dunia yang saling berhubung.
“Pelancaran TDC bukan sekadar penubuhan sebuah institusi baharu. Ia mencerminkan komitmen bersama untuk membina jambatan antara negara, memupuk persefahaman dalam kalangan komuniti yang pelbagai, serta membentuk masa depan yang berasaskan kepercayaan, kerjasama dan kepimpinan yang bertanggungjawab.
"Pada ketika dunia berdepan cabaran geopolitik, ekonomi dan kemanusiaan yang semakin kompleks, diplomasi kekal sebagai salah satu instrumen paling berkuasa untuk mencapai keamanan dan kemajuan yang berkekalan,” katanya.
TDC ditubuhkan sebagai platform global untuk dialog, kerjasama dan pembangunan kepimpinan selain berhasrat menyokong penglibatan diplomatik, menggalakkan penyertaan belia dalam hal ehwal global serta memudah cara Kerjasama antara industri kerajaan, organisasi antarabangsa dan pihak berkepentingan.
Ia akan melaksanakan pelbagai program serantau dan antarabangsa seperti forum diplomatik, program kepimpinan dan bimbingan (mentorship), projek diplomasi budaya, aktiviti bantuan kemanusiaan serta peluang fellowship antarabangsa.
Antara agenda utamanya termasuk Sidang Kemuncak Diplomasi Global, Program Fellowship Diplomat Antarabangsa, Pusat Pemikir Penyelidikan dan Dasar Global, serta Inisiatif Diplomasi Kemanusiaan Global.
TDC mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan, organisasi antarabangsa, misi diplomatik, institusi pendidikan, pemimpin sektor swasta dan masyarakat supaya erkongsi visi membina dunia yang disatukan melalui keamanan, kepercayaan dan kemajuan.