COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka pada Ahad membuka tawaran kepada pelabur untuk mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa (MRIA) selepas perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan usaha sama India–Rusia sebelum ini gagal direalisasikan.
Lapangan terbang yang terletak di pantai selatan negara itu kini beroperasi dalam keadaan rugi dan tidak mempunyai sebarang jadual penerbangan tetap sejak dibuka pada 2013.
Advertisement
Fasiliti tersebut dilaporkan gagal menjana pendapatan mencukupi, termasuk untuk menampung kos asas seperti bil elektrik, sekali gus menjadi beban besar kepada kewangan kerajaan.
Menerusi pelawaan penzahiran minat (expression of interest, EOI), kerajaan Sri Lanka menyifatkan MRIA mempunyai potensi pertumbuhan yang belum diterokai, khususnya bagi pembangunan pelancongan eksotik dan pelaburan strategik.
Dua tahun lalu, kerajaan mengumumkan pemberian pajakan 30 tahun kepada usaha sama melibatkan Shaurya Aeronautics dari India dan Airports of Regions Management Company dari Rusia, namun perancangan itu tidak pernah direalisasikan.
MRIA dibina menggunakan pinjaman dari China ketika pentadbiran bekas Presiden Mahinda Rajapaksa, yang menyaksikan beberapa projek infrastruktur berskala besar akhirnya gagal dari segi komersial.
Hutang kepada China dikenal pasti sebagai antara faktor utama krisis kewangan yang melanda Sri Lanka, sehingga negara itu gagal membayar hutang luar negara berjumlah kira-kira AS$46 bilion (kira-kira RM181.7 bilion) pada 2022.
Sejak menerima bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) awal tahun lalu, Sri Lanka giat melaksanakan langkah pembaharuan ekonomi termasuk penswastaan syarikat milik kerajaan yang mencatatkan kerugian.
Selain masalah kewangan, MRIA turut berdepan cabaran operasi berikutan lokasinya yang terletak di laluan migrasi burung, sehingga pernah memaksa pihak tentera dikerahkan bagi menghalau haiwan liar seperti gajah dan kerbau daripada memasuki kawasan landasan.
Buat masa ini, lapangan terbang itu hanya digunakan sebagai destinasi alternatif sekiranya berlaku cuaca buruk di lapangan terbang antarabangsa utama di Colombo, selain mengendalikan beberapa penerbangan kargo serta pesawat sewa khas dalam skala terhad.