BERLIN: Populasi menua Jerman menyebabkan semakin sukar untuk mengekalkan tahap pendermaan darah memandangkan tidak ramai penderma muda menggantikan generasi lebih berusia, menurut Palang Merah Jerman (DRK) menjelang Hari Penderma Darah Sedunia pada Ahad, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Kita mempunyai semakin ramai penderma lebih tua dan semakin sedikit orang muda yang datang (untuk menderma darah)," kata Patric Nohe, jurucakap perkhidmatan derma darah DRK, kepada dpa. "Kita mempunyai isu kumpulan orang yang menderma darah semakin berkurangan."
Cabaran ini sebahagiannya didorong oleh perubahan demografi, dengan generasi baby boomer berdasarkan sejarah ialah kumpulan penderma darah terbesar dan ramai yang telah menderma secara tetap.
Walaupun Jerman tidak lagi mengenakan had umur untuk menderma darah, ramai penderma yang lebih tua secara beransur-ansur meninggalkan kumpulan penderma kerana keadaan kesihatan yang berkaitan usia, kata Nohe.
DRK turut menghadapi kekurangan bermusim semasa cuti musim panas dan gelombang selesema musim sejuk.
Memperluas pangkalan penderma akan membantu mengimbangi turun naik sedemikian, kata Nohe, sambil menambah individu berumur 30-an dan 40-an masih boleh mula menderma darah.
Menurut DRK, sekitar 15,000 derma darah diperlukan setiap hari di Jerman.
-- BERNAMA-dpa