Skip to main content

Malaysia

Remaja OKU, lelaki mualaf ditemukan lemas di Sungai Kedah 

Foto Bomba
Bomba menerima maklumat mengenai penemuan seorang lagi mangsa terapung di permukaan sungai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama. - Foto Bomba

ALOR SETAR: Dua lelaki termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam yang dilaporkan hilang pada Jumaat lepas ditemukan lemas di Sungai Kedah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata mayat Saw Chee Wan, 16, telah dikenal pasti oleh ahli keluarganya, yang sebelum ini melaporkan mangsa hilang dari rumahnya di Kampung Seberang Perak dekat sini, yang terletak kira-kira dua meter dari lokasi kejadian. 

"Mayat ditemukan tersangkut pada pokok berhampiran Taman Pesisiran Jeragan, Ampang Jajar oleh petugas pembersihan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada 9 pagi tadi," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini hari ini. 

Beliau berkata mayat seorang lagi lelaki yang  juga mualaf dikenali sebagai Muhammad Amin atau N Thiagarah, 46, dari Tanjung Bendahara di sini juga dilaporkan hilang pada hari yang sama, iaitu 12 Jun lepas. 

"Hasil siasatan mendapati lelaki itu adalah pesakit psikiatri. Mayat kedua-dua lelaki itu ditemukan pada jarak 100 meter, namun hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. 

"Pasukan dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tiba di lokasi menjalankan pemeriksaan dan tidak menemukan sebarang unsur jenayah," kata Syed Basri. 

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua lelaki berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut. 

"Saya meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian penemuan dua mayat lelaki berkenaan," katanya. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement