Skip to main content

Politik

PRN Johor: BN tumpu agenda rakyat, tidak serang lawan politik - Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 14 Jun -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn hari ini._BERNAMA
Ahmad Zahid (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan kepada penawaran agenda dan dasar kepada rakyat tanpa menjadikan serangan terhadap lawan sebagai pendekatan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata jentera parti itu di semua peringkat telah diingatkan mengenai perkara berkenaan.

"Kita tidak mengambil pendekatan untuk menyerang sesiapa atau mana-mana parti politik. Saya telah memberitahu jentera parti di peringkat nasional, Johor dan negeri-negeri lain yang akan menghadapi pilihan raya supaya mengambil pendekatan berbeza.

"Kita mahu menyantuni isu-isu rakyat dan menawarkan agenda yang lebih baik untuk mereka. Seboleh mungkin kita tidak menyerang mana-mana pihak. Jika diserang, kita akan menjawab, tetapi bukan untuk menyerang mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata senarai calon BN bagi PRN Johor kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan dijangka diumum kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16, manakala 27 Jun sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement