COLOMBO: Sri Lanka melancarkan siasatan selepas penggodam menceroboh sistem komputer Kementerian Kewangan negara itu dan mencuri AS$2.5 juta , menurut pihak berkuasa.
Dana berkenaan merupakan sebahagian daripada bayaran balik hutang dua hala kepada Australia, dengan penyelesaian penuh dijadualkan pada September 2025.
Advertisement
Pihak berkuasa percaya pengalihan dana itu berlaku sekitar Januari lalu, namun maklumat terperinci mengenainya hanya mula diketahui kini.
Setiausaha Kementerian Kewangan Sri Lanka, Harshana Suriyapperuma berkata kepada media pada Khamis: “Walaupun Sri Lanka telah membuat bayaran yang sepatutnya, penjenayah siber telah campur tangan dan mengalihkan wang tersebut ke akaun bank lain, bukannya kepada penerima yang dimaksudkan.”
Beliau memaklumkan, empat pegawai kanan di Pejabat Pengurusan Hutang Awam telah digantung tugas dan pihaknya kini mendapatkan bantuan agensi penguat kuasa undang-undang asing.
Butiran mengenai bagaimana penggodam berjaya mencuri dana itu masih belum jelas, namun penyiasat percaya pelaku telah memanipulasi arahan pembayaran berasaskan e‑mel dalam proses pembayaran hutang kerajaan.
Kehilangan AS$2.5 juta itu hanya disedari selepas pihak pemiutang Australia memaklumkan bahawa bayaran hutang tersebut tidak diterima.
Timbalan Menteri Kewangan, Anil Jayantha Fernando berkata, skala sebenar serangan siber itu menjadi lebih jelas selepas penjenayah cuba membuat satu lagi bayaran kepada India, sekali gus menimbulkan syak wasangka terhadap maklumat akaun bank yang telah diubah.
Pihak berkuasa kini menyiasat bagaimana pelbagai mekanisme kawalan gagal berfungsi serta kemungkinan dana tersebut dapat dipulihkan.
Serangan siber itu merupakan tamparan baharu kepada Sri Lanka yang masih dalam proses pemulihan daripada krisis ekonomi parah empat tahun lalu, apabila negara itu kehabisan rizab pertukaran asing.
Ketika itu, Colombo gagal melunaskan hutang luarannya berjumlah AS$46 bilion.
Kerajaan tidak mampu membiayai import makanan, bahan api dan ubat-ubatan, menyebabkan kekurangan bekalan serta mencetuskan protes besar-besaran rakyat yang akhirnya menjatuhkan Presiden ketika itu, Gotabaya Rajapaksa, pada Julai 2022.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Sri Lanka, Matthew Duckworth berkata, Canberra menyedari wujudnya ketidakaturan dalam pembayaran yang sepatutnya diterima negara itu.
“Pihak berkuasa Sri Lanka sedang menyiasat perkara ini dan bekerjasama dengan pegawai Australia yang turut membantu siasatan,” katanya menerusi platform X.
Serangan siber itu berlaku ketika Bank Pusat Sri Lanka dan Kementerian Kewangan melancarkan kempen pengiklanan di akhbar tempatan awal tahun ini bagi memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan siber. - Agensi