TIANJIN: Stesen angkasa lepas China yang mengorbit Bumi menaik taraf dapurnya dengan peralatan canggih serta lebih banyak pilihan makanan bagi memastikan angkasawan mendapat makanan yang mencukupi sepanjang tempoh lama berada di orbit, lapor Xinhua.
Pusat Penyelidikan dan Latihan Angkasawan China, dengan kerjasama beberapa syarikat swasta, menaik taraf “dapur angkasa” itu dengan pelbagai peralatan pintar untuk membekalkan air minuman, memanaskan semula makanan dan membakar makanan, sekali gus membolehkan angkasawan di orbit menikmati hidangan panas dalam tempoh 20 minit.
Pada Persidangan Kejuruteraan Perubatan Aeroangkasa pertama di Tianjin, utara China, pada Sabtu, pakar dari pusat berkenaan, Liu Weibo, memberikan contoh termasuk mesin penapis air angkasa yang memastikan air kitar semula selamat untuk diminum serta peranti pemanas gelombang mikro angkasa yang membolehkan makanan dipanaskan semula dengan pantas pada kuasa rendah tanpa kebocoran gelombang mikro.
Liu turut berkata ketuhar pembakar udara panas, yang pertama di dunia direka untuk kegunaan di angkasa lepas, membolehkan asap hasil masakan disingkirkan dengan cekap dan penggunaan tenaga yang rendah, sekali gus membolehkan angkasawan di orbit menikmati kepak ayam, stik dan kek yang dibakar.
Menu di stesen angkasa lepas China juga dipelbagaikan.
Makanan angkasawan kini merangkumi hampir 200 jenis manakala kitaran menu penerbangan dipanjangkan kepada 10 hari.
Sayur-sayuran segar, kekacang, kek dan daging boleh dibakar serta diproses di orbit manakala yogurt boleh diperam di angkasa lepas.
“Kami terus meningkatkan tahap sistem sokongan hayat untuk angkasawan di orbit,” kata Liu.
“Pelbagai jenis, kualiti, rasa, penampilan dan nilai pemakanan makanan angkasa semakin baik.”
Stesen angkasa lepas China, Tiangong, yang bermaksud “Istana Syurga”, kini memasuki era penempatan manusia jangka panjang.
Seorang anggota kru Shenzhou-23 akan menjalani tempoh setahun di orbit manakala misi pendaratan manusia China di Bulan yang dijadualkan pada 2030 terus mencapai kemajuan.
-- BERNAMA-XINHUA